Hari ini bertukar Perdana Menteri

Hari ini bertukar Perdana Menteri. SEMALAM, khabar berita mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan Perdana Menteri pada Isnin.

Perkara itu didedahkan oleh seorang menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sudah menyatakan hasrat berkenaan dalam satu pertemuan bersama pucuk kepimpinan tertinggi parti itu di kediamannya di Bukit Damansara pada petang Sabtu.

Jelas menteri yang enggan namanya didedahkan, hasrat peletakan jawatan Muhyiddin dikemukakan Pengerusi PN itu setelah tawaran kerjasama rentas parti bagi membolehkan kerajaan PN kekal sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun hadapan, tidak mendapat sambutan ahli-ahli Parlimen pembangkang.



Muhyiddin pada pagi ini sedang mempengerusikan mesyuarat khas kabinet di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Difahamkan mesyuarat berkenaan diadakan jam 10 pagi ini sebelum Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menghantar surat peletakan jawatannya.

Muhyiddin sebelum ini hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri selepas 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap PN dan dirinya.

Dan pada petang Ahad, Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli Parlimen UMNO di Hotel Royale Chulan.



Pertemuan pada petang itu menyaksikan ahli-ahli Parlimen UMNO menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin.

Ahli Parlimen Padang Rengan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui beliau menandatangani SD menyokong Ismail Sabri.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ahli Parlimen dari Bersatu itu juga dikatakan bakal menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.



Ismail Sabri turut dilaporkan bertemu dengan Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada pagi Ahad dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Ketika ini, jumlah ahli Parlimen menyokong Muhyiddin ialah 100 orang.

Jumlah itu terdiri daripada Bersatu (31), UMNO (23) (Kem Ismail Sabri), MIC (1), MCA (2), Pas (18), Parti Rakyat Sarawak (2), SUPP (1), Parti Demokratik Progresif (2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (13), PBRS (1), PBS (1), Star (1) dan Bebas (4).

Jumlah ahli Parlimen yang tidak menyokong Muhyiddin yang diketuai blok pembangkang ialah 120 orang.



Mereka terdiri daripada (42), PKR (35), Amanah (11), Warisan (8), UPKO (1), PSB (2), Pejuang (4), dua ahli Parlimen Bebas iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar) serta Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan 15 ahli Parlimen UMNO (kem Zahid).

Hari ini bertukar Perdana Menteri


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392



Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mesyuarat biro politik, MT Umno akan pilih tiga nama calon PM interim

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker