Guan Eng tak maklumkan telah jumpa kontraktor terowong

Sebaran :

Guan Eng tak maklumkan telah jumpa kontraktor terowong bawah tanah, kata saksi

Seorang bekas anggota exco Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng, bekas ketua menteri negeri itu tidak memaklumkan beliau telah menemui pengarah syarikat yang mahu melaksanakan projek terowong bawah laut bernilai berbilion ringgit.

Lim Hock Seng yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap hal ehwal kerja raya, kemudahan awam dan pengangkutan berkata, Guan Eng hanya memaklumkan mesyuarat exco bertarikh 26 Jan 2011 itu bahawa “sebuah syarikat swasta” berminat terhadap projek itu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada beliau maklum Guan Eng telah menemui dan bercakap dengan Pengarah Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Zenith) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada awal bulan sama mengenai projek bawah tanah berkenaan di Hotel Shangri-La, Hock Seng berkata beliau tidak tahu mengenainya.

“Beliau tidak memaklumkan kami, dan hanya memberitahu sebuah syarikat berminat dengan projek berkenaan,” katanya.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan Guan Eng telah mengarahkan Hock Seng menghubungi Zarul dan seorang lagi pengarah, Lee Chee Hoe, selepas mesyuarat exco berkenaan berakhir.

Projek bernilai RM6.3 bilion itu melibatkan terowong bawah laut dan tiga jalan raya, dicadangkan kerajaan negeri untuk meredakan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang.

Terowong bawah tanah sepanjang 7.2km itu sepatutnya menghubungkan Jalan Pangkor di Pulau Tikus di bahagian pulau, dengan Bagan Ajam di Butterworth, dan dijadualkan dimulakan pada 2023.

Tiga jalan berkenaan adalah dari Air Itam ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km), dan persimpangan Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).

Wan Shaharuddin kemudian menyoal saksi mengenai terma “perjanjian awal” antara kerajaan Pulau Pinang dengan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

Wan Shaharuddin berkata, kontrak itu didraf firma guaman (Lee Hishammuddin Allen & Gledhill), dan termanya tidak melindungi hak kerajaan negeri dalam projek berkenaan.

Hock Seng bagaimanapun menafikan cadangannya.

“Draf itu disemak penasihat undang-undang negeri dan dibentangkan dalam mesyuarat exco.

“Mengikut terma berkenaan, Zenith diberi hak konsesi tol selama 30 tahun.

“Kadar tol tidak boleh lebih tinggi atau lebih rendah daripada tol sedia ada di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah,” katanya.

Beliau menambah, syarikat itu juga tidak dapat menuntut pampasan daripada kerajaan negeri jika aliran lalu lintas adalah rendah.

Menjawab soal balas peguam bela Gobind Singh Deo, Hock Seng mengakui tidak menganggap apa-apa yang tidak kena dengan arahan Guan Eng supaya beliau menghubungi Zarul dan Lai.

“Saya tidak melihatnya sebagai arahan. Ketua menteri turut mengarahkan anggota exco lain supaya melihat perkara lain di bawah portfolio mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang tidak boleh membina terowong bawah laut tanpa sebarang usaha sama.

“Terowong bawah laut ini yang pertama seumpamanya di Asia. BUCG syarikat terkenal di China dan mereka membina Stadium Olimpik Beijing,” tambahnya.

BUCG sebelum ini memegang saham 10% dan modal berbayar sebanyak RM541 dalam usaha sama Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

Syarikat dari China itu memohon untuk dikeluarkan daripada tiga rakan kongsi dalam CZBUCG pada September 2016 susulan satu nahas maut melibatkan kren.

Perbicaraan di depan Hakim Azura Alwi bersambung Rabu.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri ketika itu untuk meminta Zarul memberikannya 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada projek terowong berkenaan.

Bekas menteri kewangan itu juga didakwa meminta suapan RM3.3 juta untuk melantik syarikat Zarul bagi projek berkenaan.

Guan Eng turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri berjumlah RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat. FMT

Guan Eng tak maklumkan telah jumpa kontraktor terowong


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nazri tandatangan SD sokong Ismail Sabri jadi PM


Sebaran :

Leave a Reply