Wanita cuba ‘beli’ pegawai polis dicekup

Wanita cuba ‘beli’ pegawai polis dicekup

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang wanita merasuah dua pegawai polis dengan wang tunai berjumlah RM21,000 sebagai dorongan untuk melepaskan tunangnya yang ditahan atas kesalahan mengedar dadah akhirnya mengundang padah apabila dia turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah(BSJND) Sentul telah menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Suspek berusia 24 tahun yang sedang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah ditahan di sebuah kawasan perumahan di Jalan 1/2B Off Jalan Ipoh dan pemeriksaan dilakukan telah menemui 13 peket plastik berisi dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 168.66 gram.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Turut ditemui adalah tiga peket plastik disyaki berisi heroin dianggarkan seberat 2.92 gram dan suspek juga didapati positif dadah selain memiliki satu rekod lampau berkait dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, kira-kira pukul 12.30 tengah malam hari yang sama, seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang merupakan tunang kepada suspek yang ditahan telah hadir ke pejabat BSJND Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan cuba menawarkan wang tunai berjumlah RM21,000.

“Wang berkenaan adalah sebagai sokongan untuk membebaskan tunangnya yang telah ditahan. Wanita berkenaan telah diberi amaran supaya berhenti daripada meneruskan niatnya itu namun tidak diendahkan jadi tangkapan telah dibuat.

“Wanita berkenaan terus ditangkap atas kesalahan menawarkan suapan kepada pegawai polis dan pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM21,000,” tegas beliau.

Tambah Eng Lai, tangkapan dan barang kes akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek lelaki yang ditahan kerana disyaki mengedar dadah pula kini ditahan reman sehingga 19 Ogos depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Eng Lai menambah, beliau berbangga dengan pegawainya yang menunjukkan sifat terpuji menolak budaya rasuah dan berharap ia akan menambah keyakinan kepada orang awam terhadap integriti pasukan dan tampil membuat laporan dalam usaha mengekang aktiviti pengedaran dadah dan jenayah.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak sesekali cuba memberikan rasuah atau sogokan kepada anggota polis yang menjalankan tugas dan tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009),” ujar beliau. K Online

Azlee : Jangan malu jual buah macam saya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker