DAP Sokong Muhyiddin Hanya Khabar Angin
Oleh Nurul Aisyah
HARAPAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan kuasa makin berkecai dengan penafian dari Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. Beliau menafikan spekulasi penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam kalangan DAP dan PKR yang dipercayai ‘akan menyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.
Dakwaan bahawa DAP akan memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dan menyokong Muhyiddin juga tidak benar.
Beliau yakin semua ahli Parlimen pembangkang ‘tidak lari,’ malah, sepakat bersama Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini semua tidak betul. Mereka (DAP) tidak terlibat langsung dalam CSA ini dan saya telah mengesahkan dengan mereka. Semua bersama kita. Tidak ada seorang pun lari.
“Malah, ada antara pemimpin DAP pun sudah buat kenyataan untuk tidak menyokong Muhyiddin. Jadi, tunggu lah sidang Parlimen nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai ura-ura DAP akan menyokong Muhyiddin dalam usul percaya Perdana Menteri melalui perjanjian CSA.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai usaha sia-sia menjatuhkan Muhyiddin yang berkemungkinan besar akan berpihak atau memberi manfaat kepada UMNO.
Tambahan pula, satu rombakan Kabinet sebagai tanda kepemimpinan serius untuk memastikan survival kerajaan bertahan sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan membuatkan ramai pihak melontarkan spekulasi masing-masing.