Penahanan pengkritik MB Kedah tidak patut berlaku

Penahanan pengkritik MB Kedah tidak patut berlaku, kata dua peguam

GEORGE TOWN: Dua peguam mengkritik polis susulan penahanan beberapa individu yang didakwa menghamburkan kenyataan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata penahanan dan reman ketika di tengah-tengah peningkatan wabak dianggap sebagai tidak mempunyai keperluan di mana kenyataan mereka dapat diambil dan peranti boleh dirampas untuk tujuan siasatan.

“Apa salahnya andai rakyat mahu mengkritik MB (menteri besar)? Lebih-lebih lagi terbit daripada keceluparan MB sendiri. Di mana kebebasan bersuara?

“Polis mengambil tindakan segera dengan melakukan penahanan itu yang dianggap sebagai langkah mendiamkan perbezaan,” katanya kepada FMT.

Rafique berkata, kini berlaku trend membimbangkan di mana mereka yang mempunyai kuasa menggunakan polis bertujuan mencengkam golongan tertindas, terutamanya membabitkan kesalahan kecil.

Beliau turut mempersoalkan tindakan polis tidak menyegerakan tindakan terhadap uji pandu Sanusi ke atas sebuah jentera Ford Raptor, dalam kejadian di Pulau Pinang, pada awal Jun lalu. Menteri besar berkenaan dikenakan denda RM1,500 bulan lalu selepas didapati melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, peguam Ramkarpal Singh, berkata tiada keperluan bagi polis menahan suspek di luar kawasan, sebagaimana tindakan pihak berkuasa berkenaan menahan suspek pertama di Negeri Sembilan, kemudian membawa individu terbabit ke Kedah untuk diambil keterangan.

“Mana-mana suspek dibenarkan memberi keterangan di balai polis berdekatan. Tiada alasan bagi polis untuk mendapatkan perintah reman,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, turut mempersoalkan layanan istimewa daripada polis di mana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri tidak pernah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis berhubung lambakan kritikan diterimanya di media sosial.

Presiden Penaja Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga melontarkan persoalan mengapa laporan polis perlu dibuat terhadap komen yang dianggap menghina.

“Tinggi sangatkah kedudukan kamu ahli politik yang pantang ditegur? Kenapa anggap rakyat ini musuh? Kena tunggu PRU (pilihan raya umum) baru nak cari dan puja rakyat?” katanya dalam kenyataan di facebook.

Ketika laporan ini ditulis, sebanyak empat individu sudah ditahan Polis Kedah membabitkan kenyataan berbaur hinaan terhadap Sanusi.

Terdahulu, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun ditahan di Lenggeng, Negeri Sembilan, pada 3.57 pagi semalam kerana didakwa mengaibkan Sanusi menerusi satu video yang tular di Facebook, sejak kelmarin.

Manakala, dua lelaki masing-masing berusia 52 dan 45 tahun ditahan di Kepala Batas dan Mergong Perdana, semalam. Kedua-duanya ditahan pada jam 5.15 petang dan 6 petang, semalam.

Pada 12.15 tengah malam tadi, seorang penganalisis IT berusia 25 tahun ditahan di kediamannya, di Aulong, Taiping, Perak, susulan kenyataan didakwa berunsur ugutan terhadap Sanusi.

Pada 6 Ogos lalu, Sanusi sekali lagi menjadi sasaran kritikan di media sosial berikutan kenyataan kontroversi, “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama”.

Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Sport Arena Aman Jaya, di daerah Kuala Muda. FMT

Penahanan pengkritik MB Kedah tidak patut berlaku


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ada ramai calon ganti MP ingkar arahan MT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker