Kisah Hijrah Dua Pendakwah Farid Ravi, Firdaus Wong Wai Hung

Kisah Hijrah Dua Pendakwah Farid Ravi, Firdaus Wong Wai Hung

SIAPA sangka, seorang lelaki yang dilahirkan dalam sebuah keluarga mengamalkan ajaran Kristian serta cara hidup Hindu itu boleh mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Bukan sekadar bergelar saudara baharu, malah martabat lelaki tersebut diangkat tinggi oleh Allah SWT sehingga menjadi seorang pendakwah yang banyak menjadi rujukan buat umat Islam di negara ini.

Dibesarkan dalam sebuah komuniti Melayu, Dr. Farid Ravi Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Ravi, 52, mula mengenali ajaran Islam ketika berusia 10 tahun sewaktu di bangku sekolah rendah.

Segalanya bermula apabila sering mengikut rakan-rakan sekelasnya yang beragama Islam mengikuti subjek Pendidikan Islam yang disampaikan seorang ustazah.

Hasil mengikuti kelas itu, Farid Ravi mampu menghafal beberapa doa ringkas selain berpeluang mendengar pelbagai kisah nabi yang disampaikan secara santai.

Pada masa sama, beliau mendengar dengan penuh minat bacaan al-Quran pada Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan di negara ini saban tahun menerusi kaca televisyen.

“Dahulu saya dikenali sebagai Jasiah a/l Ravi. Saya dan keluarga adalah penganut Kristian. Kami sekeluarga mengunjungi gereja hampir setiap minggu.

“Namun, sewaktu sekolah rendah, saya berpeluang mengikuti kelas Pendidikan Islam memandangkan subjeknya santai berbanding mata pelajaran lain seperti Sains atau Matematik.

“Bermula dari situlah saya tergerak hati mengenali Islam terutamanya selepas mendengar kisah Nabi Ibrahim AS meng­han­curkan 72 berhala milik Raja Namrud,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

FARID RAVI (tengah) sewaktu menjadi salah seorang panel penceramah dalam satu program bicara di negara ini.

Lelaki berasal dari Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor itu juga terhutang budi dengan keluarga angkatnya iaitu Hashim Talin dan Saunah Arifin yang tinggal berhampiran rumahnya.

Katanya, dia mula jatuh cinta dengan kehidupan seorang Muslim selepas melihat rutin harian ibu angkatnya yang bangun awal pagi untuk solat Subuh sebelum membaca al-Quran.

“Selepas pulang dari sekolah, saya akan melalui rumah emak angkat terlebih dahulu. Jadi, saya selalu menghabiskan masa di sana terutamanya ketika musim buah-buahan.

“Sewaktu tinggal bersama, saya berasa sangat seronok melihat rutin harian ibu angkat yang banyak melakukan amal ibadat. Mereka juga memberikan layanan baik kepada saya meskipun berlainan agama,” imbaunya.

Pada usia 16 tahun, hatinya sudah tidak tertahan lagi sehingga membawa Farid Ravi ke ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur bagi melafaz syahadah.

“Malangnya, saya tidak dibenarkan berbuat demikian kerana masih di bawah umur. Sebaik menjangkau usia 18 tahun barulah saya berjaya melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Kadir Chong,” katanya.

Kongsi Farid Ravi, dia terpaksa melalui pelbagai cabaran selepas bergelar saudara baharu termasuk daripada ahli keluarga serta masyarakat Muslim di sekeliling.

Katanya, ada orang Muslim yang menuduhnya memeluk Islam disebabkan ingin mendapat habuan dunia seperti bantuan wang ringgit serta berkeinginan kahwin anak dara orang Melayu.

“Saya tidak salahkan masyarakat terhadap tanggapan negatif mereka. Mungkin mereka pernah berjumpa dengan mualaf yang ada niat tidak baik apabila memeluk Islam.

“Saya juga tidak diterima oleh keluarga termasuk ibu, Ganam a/p Somvel. Saya masih ingat, abang (Devadas) memukul saya dengan teruk supaya saya segera meninggalkan Islam.

“Rintangan yang hadir itu sama sekali tidak melemahkan semangat saya. Malah, cabaran yang dihadapi itu memberi satu kekuatan kepada saya untuk terus mendalami agama Allah SWT,” katanya.

FARID RAVI (depan) bersama isteri dan enam anak mereka selepas menunaikan solat berjemaah di rumah.

Bukan sekadar mempelajari asas Islam, kecintaan Farid Ravi terhadap Islam kian terserlah apabila beliau memilih melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Al al-Bayt, Jordan sebelum melanjutkan pengajian Sarjana dalam al-Quran.

Beliau juga memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Tafsir dan Ulum al-Quran dari University of Jordan. Hasil ilmu dimiliki itu, tidak hairanlah sekiranya Farid Ravi sering menjadi pilihan menyampaikan ceramah menerusi saluran media tempatan.

Farid Ravi turut menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT apabila ibu dan abangnya akhirnya terbuka hati untuk memeluk Islam sebelum masing-masing dijemput Ilahi.

Berbeza pula kisahnya dengan pendakwah bebas terkenal , Firdaus Wong Wai Hung Abdullah, 38, yang memeluk Islam disebabkan keinginan tinggi untuk masuk ke syurga.

Keinginan tersebut timbul selepas berhijrah dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak pada usia 22 tahun sehingga membawa kepada persoalan mengenai tujuan sebenar hidupnya di atas muka bumi.

“Saya meninggalkan Buddha pada usia 18 tahun dan menjadi seorang pemikiran bebas (free thinker). Ketika itu, saya bebas melakukan apa saja termasuk minum arak, berjudi dan pergi ke kelab malam.

“Apabila berhijrah ke Kuching, saya berasa agak sunyi berbanding tinggal di ibu kota. Ketika itulah saya berfikir tentang tujuan hidup ini dan keinginan masuk ke syurga selepas mati,” katanya.

Persoalan tersebut menyebabkan lelaki yang mesra disapa Firdaus Wong itu mula bertanyakan mengenai kewujudan Tuhan daripada pandangan seorang sahabatnya yang beragama Islam.

Cerita bapa kepada empat cahaya mata itu, sahabatnya memberi satu analogi yang mudah mengenai kewujudan Tuhan, namun ia sudah cukup untuk menggerakkan hatinya memeluk Islam.

FIRDAUS WONG turut banyak keluar berdakwah ke luar negara termasuk menyampaikan ceramah di Tanzania pada tahun 2019.

“Saya ada bertanyakan kepada sahabat tentang kewujudan Tuhan yang disembah oleh orang Islam sedangkan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dia memberitahu, Tuhan seperti angin.

“Meskipun tidak boleh nampak, namun kita dapat rasa kewujudannya. Seperti Tuhan, kita tidak nampak kewujudan-Nya, tetapi ciptaan-Nya boleh dilihat di sekeliling kita,” tegasnya.

Pada 10 Ogos 2005, lelaki berasal dari Kepong, Kuala Lumpur itu telah memilih jalan kebenaran dengan melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan pegawai dakwah Perkim, Ustaz Imran Abdullah.

Ceritanya, dia tidak merasakan sebarang kelainan atau ketenangan sejurus memeluk Islam meskipun menunaikan ibadah wajib seperti solat, berpuasa dan membayar zakat.

Firdaus Wong memaklumkan, dia mengambil masa selama enam tahun iaitu sehingga 2011 untuk betul-betul belajar Islam sebelum dapat merasai kemanisan dan nikmat bergelar seorang Muslim sejati.

“Saya betul-betul jatuh cinta kepada Islam selepas mengikuti sebuah kursus selama empat hari. Kursus itu menceritakan mengenai sirah Rasulullah SAW termasuk peristiwa hijrah baginda dari Mekah ke Madinah sehingga membuatkan saya menitiskan air mata.

“Selepas itu, saya berasa seperti memeluk Islam buat kali kedua. Saya mula berasa tenang dan segala permasalahan dapat diselesaikan dengan mudah,” ujarnya.
Firdaus Wong memaklumkan, dia tidak mempedulikan cakap-cakap orang di sekeliling terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan terhadap keputusannya memeluk Islam.

FIRDAUS WONG (kanan) banyak melakukan usaha-usaha dakwah selepas kira-kira enam tahun mendalami Islam.

Ujarnya, dia pernah dipulaukan rakan-rakannya, namun ia sama sekali tidak pernah mengubah keputusannya untuk terus bersujud kepada Allah SWT.

“Mereka bebas memilih agama yang dianuti dan begitu juga saya. Lagi pula, saya seorang yang degil, tiada siapa yang berani halang keputusan saya,” katanya.

Kecintaan Firdaus Wong terhadap Islam sampai kekemucaknya pada 2013 apabila dia sanggup melepaskan pekerjaan bergaji lima angka semata-mata untuk berdakwah.

Dia telah menubuhkan pertubuhan Multiracial Reverted Muslim (MRM) yang bermatlamat menyampaikan dakwah kepada orang Muslim dan orang bukan Islam di seluruh dunia.

“Saya sanggup meninggalkan semuanya semata-mata untuk berdakwah. Ia bukan satu pengorbanan, tetapi salah satu cara saya menunjukkan rasa cinta kepada Allah SWT.

“Perkara sama turut dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat yang sanggup meninggalkan harta dan ahli keluarga mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah bagi menyebar luas Islam,” tegasnya.-KOSMO

Kisah Hijrah Dua Pendakwah Farid Ravi, Firdaus Wong Wai Hung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


MCA Mungkin Lupa, UMNO Tidak Lupa – Najib

Amboi Mona Allen! Baik Punya….

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker