Hujan lebat bawa masalah, ketakutan bagi rakyat Gaza

Hujan lebat bawa masalah, ketakutan bagi rakyat Gaza

GAZA: Hujan lebat di Gaza, semalam membawa kebimbangan dan cabaran baharu bagi rakyat Palestin yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal dan ditempatkan di khemah sementara selepas dibom Israel selama beberapa minggu.

Permulaan musim hujan dan kemungkinan banjir meningkatkan kebimbangan sistem kumbahan di kawasan yang padat dengan penduduk itu akan ditenggelami dan merebaknya penyakit.



Seorang penduduk, Fayeza Srour, yang berpindah ke selatan selepas Israel memulakan serangan memberitahu sebelum ini mereka berada di dalam rumah yang dibina daripada konkrit dan kini berada di dalam khemah.

“Tap nilon, khemah dan kayu tidak akan dapat menahan sebarang banjir… mereka yang tidur di atas lantai, apa yang mereka akan lakukan? Ke mana mereka akan pergi?”.

Musim sejuk boleh menjadi basah dan sejuk di Gaza dan wilayah terkepung itu kadang-kadang dilanda banjir.

Seorang lagi warga Gaza yang kehilangan tempat tinggal, Karim Mreish, berkata orang ramai di pusat perlindungan itu berdoa supaya hujan berhenti.



“Kanak-kanak, wanita dan orang tua berdoa kepada Tuhan supaya tidak hujan.

“Jika ia berlaku, ia akan menjadi sangat sukar dan tiada perkataan yang dapat menggambarkan penderitaan kami.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu memberitahu Gaza berdepan peningkatan risiko penyebaran penyakit berikutan pengeboman udara Israel mengganggu sistem kesihatan, akses kepada air bersih dan menyebabkan orang ramai bersesak di tempat perlindungan.

Semalam, WHO menyuarakan kebimbangan mengenai prospek hujan yang menyebabkan banjir dan kemudahan kumbahan yang sudah terlalu sedikit dan rosak.



Jurucakap WHO, Margaret Harris di Geneva berkata, sudah terdapat penularan wabak penyakit cirit-birit.

Beliau berkata terdapat lebih 30,000 kes cirit-birit dalam tempoh itu, di mana WHO kebiasaannya menjangkakan 2,000 kes.

“Terdapat banyak kerosakan infrastruktur dan kekurangan air bersih.

“Terdapat jumlah penduduk yang ramai dan terlalu padat. Ini adalah satu lagi alasan mengapa kami memohon gencatan senjata dilakukan sekarang,” katanya.



Jurucakap Majlis Pelarian Norway, Ahmed Bayram berkata, permulaan musim hujan menandakan “minggu paling sukar di Gaza sejak peningkatan (serangan) bermula.”

“Hujan lebat bermakna pergerakan menjadi lebih terhalang untuk orang ramai dan pasukan penyelamat.

“Ia akan menyukarkan lagi usaha menyelamatkan orang yang tersepit di bawah runtuhan, atau mengebumikan mangsa. Semua ini berlaku di tengah-tengah pengeboman tanpa henti dan malapetaka kekurangan bahan api.

“Berdepan skala besar keperluan kemanusiaan bagi 2.3 juta penduduk Gaza, organisasi bantuan tidak dapat merancang untuk berdepan cabaran yang ditimbulkan oleh hujan dan banjir.



Pengarah Komunikasi di Agensi pelarian PBB (UNRWA), Juliette Touma, berkata organisasi itu memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan penduduk “di sini dan sekarang.”

“Kami hampir tidak mampu untuk meneruskan usaha seterusnya sendiri, kerana keadaan di lapangan sangat, sangat, sangat terdesak,” katanya.

Touma berkata hujan yang sedikit boleh menyebabkan jalan-jalan di Gaza banjir, memandangkan ketidakupayaan sistem kumbahan untuk menyerap air.

“Ini pada hari biasa dan bukan apabila separuh daripada Gaza, jika tidak lebih, berada dalam runtuhan,” katanya.



Ketua delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Gaza, William Schomburg, berkata ia juga tidak dapat merancang jauh keperluan harian rakyat Gaza.

Keadaan sangat tidak menentu dan rumit kerana ia berubah dari satu hari ke hari berikutnya.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, hujan membawa kelegaan kepada beberapa penduduk Palestin yang tidak mempunyai bekalan air bersih dan minuman sejak beberapa minggu lalu.

Ada yang meletakkan baldi plastik di luar khemah mereka untuk mengumpul air hujan untuk diminum.

Penduduk, Um Mohammad Shahin berkata, mereka sudah minum air masin selama 30 hari. Belum ada air tawar.

“Saya baru mengumpul ini daripada air hujan,” katanya. BH

Hujan lebat bawa masalah, ketakutan bagi rakyat Gaza

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Siti Nordiana guna bomoh dalam GV?

Mahathir jawab berdepan kenapa tak suka Khairy

Suhaimi Saad ditidurkan di ICU

Bogel di surau , pasangan dipenjara

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker