Langkah menteri letak jawatan uji kewibawaan Zahid sebagai Presiden UMNO

 Tindakan peletakan jawatan pemimpin UMNO khususnya sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan minggu ini, mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk rakyat.

Apatah lagi, tindakan itu dibuat dalam keadaan negara masih bergelut menangani pandemik dan tempoh usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka kerajaan ketika ini.

Meskipun segelintir penyokong UMNO menganggap tindakan itu wajar, kebanyakan pihak dan rakyat berpendirian sebaliknya kerana menyifatkan langkah berkenaan menyulitkan situasi negara yang sedang susah.

Bagi Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, beliau berpendapat bahawa langkah – yang didorong daripada gesaan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – hanya memberi kesan lebih besar kepada UMNO berbanding Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, gerakan itu juga boleh dilihat sebagai satu ujian kewibawaan terhadap Presiden UMNO.

“Daripada berpuluh menteri, hanya dua orang sahaja yang menyahut gesaan (letak jawatan), bermakna keputusan presiden tidak dipatuhi oleh ahli.

“Saya berpendapat, kesan keputusan tersebut terhadap UMNO lebih besar berbanding kepada PN sebab UMNO mungkin berpecah atau Ahmad Zahid bakal tersingkir,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan dua pemimpin UMNO yang meletak jawatan serta-merta sejak Selasa, sebagai menyahut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menarik sokongan terhadap PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menjadi Ahli Parlimen UMNO pertama meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, diikuti Datuk Seri Dr Noraini Ahmad semalam sebagai Menteri Pengajian Tinggi.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker