4 negeri mungkin bertukar kerajaan, gabungan?
RIBUT politik negara ibarat air panas yang kembali menggelegak. Hanya selepas 16 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui satu gerakan penyatuan ummah membentuk kerajaan ditunjangi Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti Sabah, namun kedudukan mereka di Putrajaya kini mula goyah.
Tekanan buat PN makin hebat apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bersama sekurang-kurangnya 10 orang ahli Parlimen UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta.
Walaupun kem Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengeluarkan senarai 31 ahli Parlimen BN kekal bersama kerajaan, namun angkanya semakin tergelincir berikutan tindakan nekad Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyebelahi Zahid.
Yang pasti, sekiranya PN gagal mempertahankan Putrajaya, bukan sahaja kerajaan Persekutuan akan tumbang. Beberapa negeri yang tertubuh hasil gabungan PN juga berisiko besar untuk berantakan, jatuh atau menyaksikan gabungan baharu.
Empat negeri yang kini menjadi tumpuan penganalisis politik ialah Perak, Melaka, Johor dan Sabah.
Mari kita menganalisis setiap satu DUN negeri ini:
DUN PERAK
(Total 59 kerusi: BN 25, PN 10, PH 23 dan Bebas 1)
Di Perak, walaupun BN selesa dengan 25 kerusi, bagaimanapun parti itu perlu mencari rakan gabungan baru untuk membentuk kerajaan.
Jika UMNO di Pusat membentuk jajaran baharu dengan Pakatan Harapan, BN dan PH akan menjadi kerajaan negeri yang kuat di Perak dengan total 48 kerusi.
Ia akan menjadi Bersatu dan Pas dengan 10 kerusi sebagai blok pembangkang Perak bersama seorang Ahli Dewan Undangan Bebas, Leong Cheok Keng (Malim Nawar).
DUN MELAKA
(Total 28 kerusi: BN 14, PH 11, PN 3)
Sama seperti di Perak, penarikan diri UMNO daripada kerajaan PN menyaksikan BN masih menjadi parti terbesar di DUN Melaka. Bagaimanapun UMNO dan BN perlu mencari rakan gabungan baharu untuk membentuk kerajaan negeri.
Jika BN bergabung dengan PH, Melaka akan menyaksikan tertubuhnya kerajaan yang kukuh apabila blok kerajaan hanya terdiri daripada tiga ADUN Bersatu.
(Total 56: PH 27, BN 16, PN 13)
Perpecahan di pusat akan menyaksikan BN mungkin akan kehilangan tampuk kuasa negeri Johor.
Dengan BN cuma ada 16 kerusi, sekiranya BN bergabung dengan PH, sudah pasti gabungan DAP, Amanah dan PKR yang mempunyai 27 kerusi mahu menguasai kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dengan Amanah dan PKR cuma masing-masing ada 6 enam dan tujuh kerusi di DUN Johor, kemungkinan DAP perlu memberi laluan kepada BN untuk menjadi Menteri Besar.
(Total 78 kerusi: PN 21, BN 16, PBS 7, Bebas 3, Warisan 22, PH, 8, UPKO 1)
Setakat Ahad, UMNO Sabah yang mempunyai kuasa autonomi cuba mengekalkan kerjasama dengan PN.
Bagaimanapun, jika UMNO menarik diri daripada Gabungan Rakyat Sabah dan PN, baik UMNO dan PN kedua-duanya akan menggigit jari daripada terus mengetuai kerajaan negeri.
Perpecahan GRS akan memberi kelebihan kepada Warisan yang mempunyai 22 kerusi untuk menduduki kerusi Ketua Menteri walaupun BN bergabung dengan Warisan Plus.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, negeri yang paling terkesan jika kerajaan PN tumbang ialah Johor, Melaka dan Perak kerana perbezaan kerusi yang dekat dan sengit sekali gus wujudnya pergeseran yang cukup besar antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.
“Kita lihat di Johor, sudah ada gerakan tertentu di mana Sultan Johor telah memberi amaran sekiranya berlaku perebutan kuasa, Parlimen akan dibubarkan. Kenyataan seperti ini amat bagus untuk mengelakkan perebutan kuasa di peringkat negeri dan perlu dilihat secara kritikal.
“Melaka pula boleh tumbang pada bila-bila masa sekiranya kerajaan PN jatuh tanpa kerjasama Bersatu, PAS (Parti Islam Se-Malaysia) dan UMNO begitu juga dengan negeri Perak. Ketika ini, semua negeri masih berhati-hati dan memantau keadaan semasa di peringkat pusat dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Anbumani Balan berkata, di Sabah situasi sedikit stabil berbanding tiga negeri di atas namun kejatuhan pentadbiran masih boleh terjadi sekiranya PN tumbang.
“Sabah lebih kepada kuasa autonomi dan mereka juga sudah jelaskan akan bekerjasama dengan kerajaan dan Bersatu di mana mereka pilih jalan selamat kerana baru menyelesaikan Pilihan Raya Negeri. Di sana, banyak isu rakyat dan nampak cara mereka menyelesaikan kemelut politik agak berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, dalam beberapa negeri yang terbentuk daripada gabungan PN, Pas akan selamat di Kedah.
Selain itu, katanya, UMNO pula sudah ada perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan PH di Perak dan akan buat yang sama di Johor dan Melaka. Oleh demikian, satu-satunya negeri yang mungkin jatuh adalah Sabah.
“Walaupun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kukuh, tetapi kerana beliau sendiri seorang kluster mahkamah dan kemungkinan besar akan mengikut Ahmad Zahid, nasib kerajaan negeri tergantung. Jika kekal sekalipun, parti-parti induk akan berpecah di Persekutuan.
“Apa yang kita akan lihat adalah kerjasama UMNO dan PH atas CSA di Perak dan Melaka. Pada masa yang sama, UMNO akan lebih giat bersaing dengan Pas di Kelantan dan Terengganu. Ia tidak akan berlaku kejatuhan banyak kerajaan negeri seperti bulan Februari hingga Mei yang lepas menyusuli kejatuhan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Selain itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Bilcher Bala juga mengakui, negeri yang berisiko akan jatuh jika kerajaan Pusat tumbang sudah tentunya Sabah.
“Di Sabah kerjasama Bersatu dan UMNO adalah majoriti. Sekiranya Bersatu tewas kerana jatuhnya Muhyiddin, UMNO akan naik.
“Namun, sukar diramal untuk ada pembentukan kerajaan negeri yang baharu kerana Warisan juga menguasai DUN Sabah. Namun, apa yang pasti, di mana kekuatan UMNO di situ kejatuhan PN,” katanya.
Baca Artikel Menarik :
- Bidadari syurga saya pergi buat selamanya – Shuib
- UPSI tawar Azizulhasni jawatan dan biasisiswa PHD
- Ganggu Hubungan Intim, Budak 3 Tahun Maut Dipukul
- Fadzilah Kamsah Dakwa Ada Gangguan Paranormal Pada Siti Sarah
- Resepi Kek Butter Durian Rasa Padu
- Ameera Khan rapat dengan Jefri Nichol
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.