Jawatan bertaraf menteri untuk kuatkan kedudukan Faizal

Sebaran :

Jawatan bertaraf menteri untuk kuatkan kedudukan Faizal

Penganalisis politik berpendapat pelantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas perdana menteri bertaraf menteri adalah cara untuk mengangkat kedudukannya sebagai pemimpin kedua tertinggi dalam Bersatu.

Selain itu ia juga untuk menguatkan kedudukan Ahmad Faizal Azumu sebagai ahli parlimen Tambun.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, penting untuk Ahmad Faizal selaku timbalan presiden Bersatu tidak dipandang rendah dalam parti sendiri serta gabungan Perikatan Nasional.

“Selepas dia jatuh sebagai menteri besar Perak, sudah tentu untuk memastikan kerusi parlimen Tambun terus kuat, dia perlu ada jawatan yang lebih strategik.

“Jawatan bertaraf menteri ini juga agar dia tak dipandang rendah dalam Bersatu dan PN,” katanya ketika bercakap dengan Malaysiakini.

Dia juga berkata pelantikan itu juga untuk menguatkan keyakinan penyokong Bersatu – di mana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah penerajunya.

“Pelantikan ini dibuat di saat politik negara sedang bergolak kerana Faizal tetap mempunyai kuasa undi di Dewan Rakyat dan dibimbangi akan sertai parti lain jika dibiarkan tanpa jawatan strategik dalam kerajaan,” katanya lagi.

Pelantikan Ahmad Faizal diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.

Menurut PMO, dia akan berperanan menasihati Muhyiddin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata pelantikan Ahmad Faizal yang juga Adun Chendering itu sepatutnya tidak menimbulkan polemik memandangkan dia adalah timbalan presiden Bersatu yang tidak memegang sebarang jawatan di peringkat pusat.

Namun menurutnya, ia tidak dapat dielakkan pada masa ini di saat keadaan politik negara yang tidak menentu.

“Lebih-lebih lagi dengan Muhyiddin yang menerima tekanan tentang keabsahan kerajaan yang dipimpinnya,” katanya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Azmi berkata, pelantikan itu lebih diperkatakan kerana Faizal sebelum ini gagal mendapat sokongan majoriti sebagai menteri besar Perak.

“Ditambah lagi dengan pandangan pada masa ini tidak patut lagi ada pertambahan jawatan tidak penting ketika kerajaan sedang menangani pandemik tidak berkesudahan,” katanya merujuk jawatan tersebut yang berstatus menteri.

Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia senada dengan Azmi iaitu pelantikan tersebut tidak sesuai ketika ini, apatah lagi ia akan melibatkan penggunaan dana kerajaan.

“Dia(Muhyiddin) lantik mungkin kerana Faizal bekas menteri besar dan juga timbalan presiden Bersatu dan sebagai timbalan presiden, (Faizal) perlu ada jawatan untuk membantu perdana menteri.

“Bagi saya, dalam keadaan politik yang kusut ini tak perlu ada pun pelantikan seperti ini,” katanya lagi. Mk

Jawatan bertaraf menteri untuk kuatkan kedudukan Faizal

Puad hentam Nazri, jangan hipokrit sangat


Sebaran :

Leave a Reply