Tokyo 2020: Opocot! Atlet ekuestrian dakwa patung sumo buat kuda terkejut

Tokyo 2020: Opocot! Atlet ekuestrian dakwa patung sumo buat kuda terkejut

KAMIYOGA: Peserta acara ekuestrian sangat tidak gemar unsur kejutan, sama ada kuda mahupun penunggangnya, kerana tempoh latihan bertahun-tahun diperlukan untuk mengajar haiwan itu supaya tidak terganggu fokus.

Pastinya, tiada seekor pun kuda dalam acara kelayakan Olimpik pada Selasa bersedia untuk berdepan halangan Nombor 10, lapor AP.

“Apabila anda menghampiri halangan itu, anda melihat punggung seorang lelaki bertubuh besar,” kata atlet Britain, Harry Charles.

“Sangat jelas kelihatan,” dakwa atlet Ireland, Cian O’Connor.

“Ia sangat realistik! Menakutkan. Kami tak mahu kuda kami beranggapan ada seseorang yang mahu menerkam,” adu seorang lagi atlet.

Semua penunggang itu bercakap mengenai patung sumo bersaiz manusia yang diletakkan bersebelahan halangan ke-10 dalam gelanggang 14-halangan Olimpik.

Patung itu dikatakan telah mengganggu fokus beberapa ekor kuda dalam acara kelayakan individu pada malam Selasa lalu, hingga ada yang mengalami situasi diberikan mata penalti kerana lompatan yang dibuat tidak sempurna.

Patung sumo itu diletakkan di sebelah kiri penghadang di satu sudut, dalam aksinya sedikit membongkok seperti dalam posisi sedia untuk menyerang.

Oleh kerana ia membelakangkan laluan kedatangan peserta ekuestrian, maka ‘pemandangan’ paling jelas dilihat ketika hendak membuat lompatan adalah punggungnya yang terdedah.

“Saya perasan ada empat atau lima kuda yang terkejut dengan patung itu,” kata Charles.

Kebanyakan halangan di gelanggang itu dihias dengan elemen identiti Jepun, termasuk kimono geisha, istana Jepun miniatur dan dram taiko.

Namun, tiada apa yang lebih mengejutkan daripada kejutan patung atlet sumo tersebut.

Antara kuda yang terjejas dengan situasi itu adalah milik peserta Perancis, Penelope Leprevost. Pemenang pingat emas dalam temasya tahun 2016 itu bagaimanapun kurang pasti jika kudanya yang berusia 12 tahun terkesan dengan kejutan itu.

“Mungkin,” katanya. “Kami telah cuba menenangkan kuda kami di selekoh itu, dan mungkin juga ia terkejut dengan patung itu. Saya tidak pasti.”

Ada peserta lain yang memberitahu hiasan berupa bunga sakura di salah satu halangan adalah ‘cabaran’ sebenar, kerana rupa bentuknya mengganggu fokus laluan.

Drama seumpamanya memang kerap terjadi dalam acara ekuestrian. Ada juga yang berpendapat itu adalah satu perkara biasa dalam setiap acara.

“Anda sedar segalanya akan berwarna-warni di sini. Akan ada banyak dekorasi dan ia cantik sebenarnya. Menarik! Itu yang menjadikan ini suatu kejohanan. Jika semuanya seperti halangan biasa, maka ia sama sahaja seperti acara biasa,” kata seorang penunggang.-Awani

Tokyo 2020: Opocot! Atlet ekuestrian dakwa patung sumo buat kuda terkejut


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Yang degil masih sokong, sedang mencari nahas

Noor Hisham tersepit, dipersoal berat sebelah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker