Ulangi ‘Langkah Perak’? Bersatu, Pas pasti tidak sokong UMNO
Ulangi ‘Langkah Perak’? Bersatu, Pas pasti tidak sokong UMNO. UMNO dan Barisan Nasional (BN) pasti akan ditolak rakan-rakan koalisi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, sekiranya bertegas mahu mengulangi ‘Langkah Perak’ dengan menukar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ‘Langkah Perak’ yang menyaksikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditukar, namun komposisi kerajaan PN di negeri itu kekal, pastinya tidak akan dibenarkan Bersatu dan Pas untuk berulang lagi di peringkat kerajaan Pusat.
Jelas beliau, apabila Bersatu dan Pas menolak untuk bekerjasama dan merestui UMNO memegang jawatan Perdana Menteri, maka persoalan parti itu hendak membentuk jajaran baharu dengan siapa bagi membentuk kerajaan baharu bakal menjadi tumpuan.
“Kalau mahu ulang ‘Langkah Perak’ dengan Perdana Menteri sahaja ditukar, UMNO pasti tidak akan mendapat sokongan daripada Bersatu dan Pas.
“Hal ini kerana Bersatu dan Pas tidak akan membenarkan gerakan politik menukar Ahmad Faizal berulang lagi.
“Jadi, UMNO hendak kerjasama dengan siapa untuk bentuk kerajaan? Dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH)? Kena ingat keputusan Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2020, jelas menyatakan ‘No Anwar, No DAP’,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus kemungkinan berlaku pertukaran jawatan Perdana Menteri yang menyaksikan Muhyiddin dijangka meletak jawatan bagi membeli laluan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Spekulasi itu dihangatkan lagi dengan terdedahnya satu pertemuan tertutup di antara pucuk kepimpinan tertinggi kerajaan PN serta Peguam Negara di kediaman Perdana Menteri, Bukit Damansara Isnin malam.
Difahamkan antara pemimpin yang hadir ialah Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Pertemuan itu diadakan pada saat kerajaan PN ditekan hebat oleh pihak pembangkang apabila Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri diminta meletak jawatan serta-merta.
Hal ini susulan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita terhadap kerajaan PN yang tidak menunggu perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu sebelum mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Mohamed Nazri turut mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang mencari peluang untuk merealisasikan kerjasama dengan PH yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini.
“Sebenarnya bila Bersatu dan Pas tidak lagi sokong UMNO, itu yang Zahid nak sangat.
“Jadi bila kerajaan PN jatuh, Bersatu dan Pas tolak kerjasama UMNO, UMNO perlu bentuk koalisi bagi tujuan tubuh kerajaan baharu, ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN ketika itu akan menganggap mereka tiada peluang lain selain terpaksa bekerjasama dengan Anwar serta DAP.
“Lagipun ahli Parlimen UMNO hanya 38 orang sahaja, UMNO pastinya tidak boleh tubuh kerajaan secara bersendirian,” katanya.
Bekas Setiausaha Agung BN itu turut mengkritik Ahmad Zahid yang didakwanya tidak melakukan apa-apa sewaktu ‘Langkah Perak’ direalisasikan UMNO Perak, tahun lalu.
“Semua perlu mengetahui gerakan menukar Menteri Besar Perak tahun lalu adalah inisiatif ketua-ketua UMNO bahagian bersama kepimpinan UMNO negeri itu.
“Walaupun Zahid juga seorang ketua bahagian (Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk), namun beliau langsung tidak pernah hadir satu pertemuan pun bagi merealisasikan gerakan itu.
“Sampai ke sudah dia tidak buat apa, jadi jangan hendak ‘claim’ Langkah Perak idea dia,” katanya.
Ulangi ‘Langkah Perak’? Bersatu, Pas pasti tidak sokong UMNO
Baca Artikel Menarik :
- Pemuda Pas jangan lebih sudu dari kuah
- TPM tak ambil alih secara automatik jika PM berundur
- Nazri kata surat akuan MP BN sahih, dalam ‘simpanan TPM’
- Molek MCA dan MIC ikut nasihat Gerakan dari asyik menumpang tuah
- Hanya undi dalam Parlimen dikira, bukan dakwaan sokongan
- Resepi Aiskrim Goreng Sempoi, 2 Bahan jer
Layari Laman Facebook MYKMU