Inilah Percaturan Politik China

Inilah Percaturan Politik China. Asia Barat juga dikenali sebagai Timur Tengah, merupakan rantau yang amat penting bagi China. Terdapat dua faktor utama Asia Barat penting untuk China.

Pertama, kedudukan geo-strategik Asia Barat yang merupakan sebahagian jalan perdagangan menghubungkan benua Asia dengan Eropah.

Ia amat penting bagi rancangan Inisiatif Jalur dan Laluan atau Belt and Road (BRI) untuk memperluas hubungan ekonomi dari China ke Eropah.

Tidak kira sama ada melalui Jalur Ekonomi Laluan Sutera (jalan darat melalui Asia Tengah) atau Inisiatif Laluan Sutera Maritim (jalan laut), Asia Barat tetap destinasi terakhir sebelum sampai ke benua Eropah.

Bagi Inisiatif Laluan Sutera Maritim bermula dari Laut China Selatan memasuki Selat Melaka ke Lautan Hindi, kemudian melalui Teluk Aden dan Terusan Suez dan berakhir di pelabuhan Piraecus di Greece. Oleh itu, bandar pelabuhan di Asia Barat seperti Port Said, Jebel Ali, Madinat Al-Hareer dan Khalifa sangat penting dalam jalinan ekonomi BRI.

Kedua, Asia Barat merupakan rantau yang kaya dengan minyak dan gas asli. Pada 2013, China menjadi pengimport minyak mentah terbesar di dunia. Hampir separuh daripada minyak mentah China berasal dari Asia Barat. Selain itu, 20 peratus kegunaan gas asli di China diimport dari Asia Barat.

Keselamatan navigasi juga menjadi keutamaan China. Sebahagian besar minyak yang diangkut perlu melalui Selat Hormuz di Iran dan UAE. Kapal mengangkut barang dagangan termasuk minyak antara China dan Eropah mesti melalui beberapa choke points (laluan perkapalan yang sempit) yang berbahaya.

Misalnya, di Selat Bab el-Mandeb di kawasan perairan Djibouti dan Yeman, kawasan itu bukan sahaja bahaya dari segi laluan yang sempit, malah terdedah ancaman lanun dan rompakan di laut. Ancaman itu disebabkan oleh keadaan politik tidak stabil dalam kalangan negara-negara persekitaran seperti Yaman, Djibouti dan Somalia. Oleh itu, Beijing mesti memastikan keselamatan navigasi supaya barang perdagangan dan minyak mentah boleh sampai ke destinasi dengan selamat.

Khabar angin cuba pecah belahkan kerajaan – Ismail Sabri

Berlandaskan maklumat tersebut, China telah meningkatkan hubungan dengan negara-negara serantau melalui memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama dalam bidang ekonomi serta keselamatan.

Kerjasama ekonomi merangkumi pembangunan infrastruktur pembinaan pelabuhan dan pengangkutan yang dianggap penting untuk meningkatkan navigasi keselamatan serta mewujudkan alternatif laluan alternatif bagi memintas choke points.

Beijing juga berusaha eratkan hubungan perdagangan dengan rantau Asia Barat, selain meningkatkan hubungan people-to-people (P2P) antara China dengan Asia Barat. Buat masa kini kerajaan China menawarkan biasiswa kepada pelajar dari Asia Barat untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam di China.

China telah memulakan bantuan kewangan untuk menjayakan projek pembangunan dan pembinaan infrastruktur. Negara Asia Barat yang diberi keutamaan oleh China dalam BRI ialah Arab Saudi, UAE, Iran, dan Mesir.

Dalam bidang keselamatan, Beijing buat kali pertama telah menetapkan pangkalan tentera di luar wilayah China di Selat Bab el-Mandeb, Djibouti dalam usaha meningkatkan keupayaan ketenteraan bagi memantau keselamatan maritim.

Tentera laut kerajaan Djibouti bersama Tentera Laut Pembebasan Rakyat China melakukan rondaan bagi memastikan kehadiran tentera laut secara berterusan di Teluk Aden untuk meminimumkan kejadian lanun dan tebusan di kapal.

Selain itu, pangkalan tentera China di Djibouti juga berfungsi sebagai pusat kordinasi operasi kecemasan di Asia Barat dan Afrika. China juga sedang mengadakan kerjasama pertahanan dengan Iran bagi meningkatkan keselamatan navigasi di Selat Hormuz termasuk latihan ketenteraan dengan Iran di mana kapal perang China dilaporkan berada di Teluk Parsi.

China turut terlibat dalam politik dan konflik tempatan di Asia Barat melalui rundingan dan diplomasi. Namun kaedah digunakan China berbeza dengan Amerika Syarikat (AS). Bagi AS, mereka sering menyebelahi pihak yang bersekutu dengannya. China tidak memilih mana-mana pihak yang bertelagah tetapi mengamalkan dasar berkecuali dengan mengadakan kerjasama tanpa mengira kerajaan atau pembangkang.

Dalam isu politik dan konflik tempatan, China mengamalkan dasar tidak campur tangan. Ia berbeza dengan AS yang sering campur tangan dalam konflik tempatan kononnya atas prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

China sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan ekonomi dan diplomasinya di rantau Asia Barat.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jackie Chan Mahu Sertai Parti Komunis China

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker