Di mana derhakanya kerajaan, tanya Annuar
Di mana derhakanya kerajaan, tanya Annuar
Tidak timbul isu kerajaan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pembatalan ordinan darurat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Sebaliknya, kata Annuar, proses pembatalan itu sedang berjalan ketika Menteri di Jabatan Menteri, Takiyuddin Hassan, mengumumkannya di parlimen.
Malah tegas Annuar kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membenarkan sebarang bentuk penderhakaan berlaku ke atas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Menurut anggota parlimen Ketereh itu lagi, apa yang mahu dilakukan Takiyuddin di Dewan Rakyat ialah memaklumkan pendirian dan keputusan kabinet tanpa memperincikan proses yang sedang berjalan, iaitu masih menunggu perkenan Agong.
“Umum tahu bahawa Agong berhak memberi pandangan balas atas setiap keputusan kerajaan dan sekiranya ada perbezaan dalam kaedah untuk menamatkan kuatkuasa ordinan darurat, ia masih boleh dirunding dan dibincangkan.
“Pada 21 Julai, keputusan dibuat dalam mesyuarat kabinet berhubung pembatalan ordinan darurat. Pada 22 Julai pula, peguam negara menyiapkan draf ordinan (pembatalan). Kemudian pada 23 Julai, perdana menteri mengutus warkah kepada Agong.
“Seterusnya pada 24 Julai, Agong menitahkan peguam negara dan menteri undang-undang menghadap baginda. Pada 25 Julai pula adalah hari Ahad dan pada 26 Julai sidang Parlimen bermula dan di situlah menteri undang-undang (Takiyuddin) didesak pembangkang untuk mengetahui pendirian kerajaan, dan menteri Undang-undang memaklumkan perkembangan terbaru,” katanya.
Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno menjelaskan isu berkenaan “cuba dikelirukan” dan dalam keadaan begitu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Julai menghadap Agong bersama peguam negara untuk menjelaskan perkara sebenar.
Malah dakwa Annuar perdana menteri memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan di parlimen menimbulkan kekeliruan, dan ia boleh diperjelaskan.
“Jadi, di mana penderhakaannya?” kata Annuar.
Dia ditemui media semasa menghadiri program Vaksinasi Oghe Parlimen Terre di Kompleks Yayasan Kemiskinan di Padang Kala, Kota Bharu, hari ini.
Jelas Annuar, susulan pertemuan Muhyiddind an Agong itu, baginda menjelaskan pandangan kepada perdana menteri sebelum perkara itu dibawa kabinet pada 29 Julai.
“Perlu diketahui, pada pagi Jumaat itu perdana menteri sekali lagi menghadap Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet.
“Proses pembatalan ordinan darurat sedang berjalan mengikut peraturan biasa, langsung tidak berbangkit soal derhaka dan jelas ia cuba dipolitikkan,” katanya.
Tambah Annuar, kerajaan pada awalnya berada dalam keadaan serba salah apabila Raja-raja Melayu memutuskan agar tiada keperluan darurat disambung selepas 1 Ogos.
“Waktu kita isytihar darurat kes Covid-19 ialah 3,000 kes, (sekarang) 17,000 kita disuruh tamatkan darurat. Tetapi kerana tidak mahu derhaka, kerajaan bincang perkara itu,” ujarnya. Mk
Di mana derhakanya kerajaan, tanya Annuar
Baca Artikel Menarik :
- Lanjut sidang khas Parlimen, gesa Ku Li
- Jangan berhimpun atau tindakan akan diambil
- Penduduk kampung jerit minta Jokowi buka sekatan
- Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak
- Sajat diberi notis bankrap, gagal bayar ganti rugi
- Resepi kek coklat kukus laku keras
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.