Jee tak layan kemurungan, terus positif

Jee tak layan kemurungan, terus positif

Bak pepatah Melayu, ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa. Enggan terlalu dibuai emosi tatkala berjauhan dengan keluarga, penyanyi popular, Fauziah Latiff, 51, sentiasa menanamkan pemikiran positif dalam hidup.

Jiwa mana tidak bercelaru tinggal seorang diri apabila sekatan pergerakan penuh hingga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan selama berbulan-bulan akibat penularan pandemik COVID-19.

Seperti insan lain, Fauziah atau lebih mesra disapa Jee hampir berdepan penyakit kemurungan apabila terlalu merindui ibunya, Ngaisah Ahmad di Pontian, Johor.

Manakala, dua putera kesayangannya, Jeffri Joaquim, 22, dan Jeremy Jay, 20 pula menyambung pengajian di luar negara. Kesedihan makin terasa apabila menyambut Aidilfitri dan Aidiladha seorang diri.

Namun, Jee atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff sentiasa menanamkan semangat positif agar penyakit kemurungan dialami tidak memberi kesan buruk.

Jiwa perlu kental ketika berdepan dengan situasi pandemik, Jee akui, dia sudah lama tidak dapat pulang ke kampung halaman menemui ibunya.

“Tiada apa yang boleh dilakukan, selain akur dengan situasi semasa yang tidak mengizinkan bertemu dengan orang yang tersayang.

“Jujurnya, hati amat sedih mengenangkan tidak bertemu dengan ibu, sejak tahun lalu.

“Jika ada yang merungut, saya nak beritahu, saya lagilah hidup seorang diri. Namun, apabila difikirkan semula, saya tetap bersyukur sekurang-kurangnya masih dapat berhubung dengan ibu setiap masa.

“Saya kerap menghubungi ibu untuk bertanya khabar dan memastikannya sentiasa dalam keadaan baik. Saya akui jadi menggelabah tidak dapat pulang menjenguknya apabila ibu penat atau kurang sihat.

“Sesiapa melalui keadaan ini pastinya rasa sedih. Ia bertambah sedih apabila berdepan tekanan membaca kisah yang dipaparkan, fikiran jadi makin kusut,” katanya kepada BH Online.

Disebabkan itu, penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Setia Ku Korbankan itu lebih gemar berkongsi kata positif dalam laman sosial, biarpun ramai menganggapnya membosankan.

“Orang cakap bosan, tetapi saya tidak peduli. Saya hanya berkongsi perkara positif. Ini kerana isu negatif boleh merosakkan minda dan jiwa.

“Namun, saya juga mempunyai banyak kelemahan, jadi kita sama-sama mengalihkan minda kepada perkara positif daripada nak meraung. Minda juga mengawal emosi kita.

“Jangan mudah menghamburkan caci maki kerana inilah masanya kita bersatu dalam setiap perkara. Saya percaya hasil kerjasama dapat membantu melalui situasi penuh getir ini,” katanya.

Fauziah Latiff lebih suka berkongsi kata positif dalam laman sosial, biarpun ramai menganggapnya seorang yang membosankan. – Foto IG Fauziah Latiff
Fauziah Latiff lebih suka berkongsi kata positif dalam laman sosial, biarpun ramai menganggapnya seorang yang membosankan. – Foto IG Fauziah Latiff
Mengulas kerjaya seninya, Jee berkata, buat masa ini, tiada perkembangan menarik yang boleh dikongsi.

“Jujurnya, memang ‘zero’ sebab tiada langsung aktiviti dapat dilakukan sepanjang Fasa 1 PPN kerana mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Dan semua perkara yang mahu dilakukan perlu direhatkan termasuklah studio saya juga terpaksa ditutup.

“Tidak dinafikan, saya juga pening kepala bergelut membayar sewa bulanan dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jee, dia tidak boleh merungut, sebaliknya terus cuba bertahan.

“Saya percaya ada orang lagi susah daripada saya. Jadi, saya berusaha bertahan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Saya tidak mampu menjangkakan berapa lama pandemik ini akan berterusan.

“Jadi, tidak perlulah merungut berapa lama tidak boleh keluar rumah dan melakukan aktiviti biasa. Cuba fikir dengan tenang apa alternatif untuk menjana pendapatan.

“Jika berusaha pasti Allah akan bantu. Jangan putus asa. Disebabkan itu, saya menghormati rakan penggiat seni melakukan kerja lain yang boleh menjana pendapatan.

“Daripada tiada apa buat di rumah, sekurang-kurangnya lakukan sesuatu ketika banyak masa senggang ini. Sebelum ini, saya percaya ramai sibuk dengan kerjaya seni, jadi tiada peluang berbuat sedemikian. Buatlah sesuatu agar dapat menjana pendapatan,” katanya.

Wanita kelahiran Teluk Intan, Perak, namun dibesarkan di Klang, Selangor itu percaya pandemik COVID-19 akan berakhir dan dapat kembali bekerja, suatu masa nanti.

Katanya, apa yang lebih penting kena sentiasa positif dan saling membantu terutamanya membabitkan ahli keluarga.

“Saya tahu COVID-19 mencabar minda, kita boleh lihat terlalu banyak kes menyedihkan. Semua orang ada masalah masing-masing. Tiada siapa tidak risau dengan pandemik. Golongan artis juga terkesan, jadi kita semua tiada beza dan berada dalam situasi sama.

“Saya tidak bersetuju anggapan segelintir pihak ada golongan yang tidak terkesan. Tak perlulah kita saling menuding jari atau melakukan provokasi. Pada masa ini, kita perlu saling menyokong.

“Apa yang boleh bantu, kita hulur walaupun sekecil mana pun pertolongan. Sebab kita hanya ada sesama kita.

“Paling penting, patuhilah prosedur operasi standard (SOP). Kerajaan minta duduk rumah, kita duduklah rumah sahaja agar jangkitan tidak menular,” katanya. BH

Jee tak layan kemurungan, terus positif


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker