Pembatalan Darurat: Yang terlibat harus berundur

Pembatalan Darurat: Yang terlibat harus berundur

Batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong: Yang terlibat harus berundur atau dikenakan hukuman setimpal, kata Rafidah

Bekas menteri Rafidah Aziz menegaskan pihak yang bertanggungjawab membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Istana Negara harus “berundur atau dikenakan hukuman setimpal” atas kesalahan membelakangkan peranan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini adalah perbuatan mengenepikan peranan Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

“Ia adalah skandal terbaharu kerajaan pintu belakang. Saya amat dukacita dan begitu juga seluruh rakyat yang berfikiran rasional,” tegas beliau.

Rafidah mengeluarkan kenyataan spontan itu selepas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin, bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu, walhal ia belum lagi diperkenan baginda.

Rafidah berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan, mengenai pembatalan Ordinan-ordinan Darurat mengejutkan seluruh negara.

Namun, katanya negara mendapat kejutan lebih besar susulan pendedahan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin cuba meminggirkan Yang di-Pertuan Agong sendiri secara terang-terangan.

“Kerajaan ini telah jelas mengenepikan dan tidak mempedulikan proses-proses demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Tidak boleh ada tolak ansur dengan perkara ini, yang terlibat mesti berundur atau dikenakan hukuman setimpal,” tegas Rafidah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, menegaskan kenyataan Takiyuddin adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan Istana Negara itu menegaskan kerajaan gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Agong selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” menurut kenyataan Istana Negara. FMT


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Soalan mudah pun tunggu Isnin nak jawab

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker