Muhyiddin, Takiyuddin patut undur, kata penganalisis

Muhyiddin, Takiyuddin patut undur, kata penganalisis

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan harus meletak jawatan susulan kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan perkenan kepada pembatalan Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai lalu, kata seorang penganalisis.

“Harus ada tindakan, Takiyuddin harus berundur kerana memberikan kenyataan yang menimbulkan kekeliruan di Parlimen adalah kesalahan serius,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

“Sekiranya (perdana menteri) Muhyiddin Yassin memiliki maruah diri, dia juga harus mengundurkan diri kerana kenyataan Takiyuddin dibuat atas nama kerajaan pimpinannya,” katanya.

Oh mengatakan Takiyuddin mungkin hanya mengikut arahan, tetapi dia harus memikul tanggungjawab atas apa yang berlaku di Parlimen Isnin lalu.

Istana Negara hari ini menegaskan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak memberi perkenan untuk kerajaan membatalkan Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Pembatalan itu diumumkan oleh Takiyuddin pada Isnin lalu di hari pertama sidang mesyuarat khas Dewan Rakyat, sekali gus mengundang kritikan bahawa kerajaan melanggar perlembagaan kerana bertindak demikian tanpa perkenan Istana Negara.

Susulan kenyataan Istana Negara hari ini, Oh menjangka perdana menteri berkemungkinan akan terus berusaha untuk mengekalkan kuasa selama mungkin, tetapi ia bermakna kemungkinan terpaksa “mengorbankan” Takiyuddin atau Peguam Negara Idrus Harun, selaku penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Tokoh akademik Azmi Hassan berkata, harus ada pihak yang memikul tanggungjawab atas tindakan kerajaan memberikan kenyataan tersasar di Parlimen yang memberikan kesan kepada imej Agong.

Namun, beliau berkata, masih perlu dilihat apakah perdana menteri dapat memberikan penjelasan kredibel tentang apa yang terjadi.

“Ini adalah masalah yang sangat serius kerana ia melibatkan Istana Negara, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa sangat sedih ia sampai ke tahap ini,” katanya.

Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center berkata, pendirian Ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional sebelum ini, akan menjadi tumpuan, susulan kenyataan Istana Negara.

Beliau berkata, sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen Umno terhadap Muhyiddin sebelum ini juga menjadi tanda tanya.

“Kenyataan Agong itu tegas dan meninggalkan kesan negatif terhadap imej PM,” kata beliau.

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia mengatakan bahawa kenyataan Agong hari ini adalah mesej kepada semua Ahli Parlimen untuk membetulkan isu-isu yang berkaitan dengan pembatalan Ordinan Darurat dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Kerajaan PN (juga) harus menjelaskan sama ada mereka mengikut undang-undang dan perlembagaan dalam membatalkan Ordinan Darurat,” katanya. FMT

Muhyiddin, Takiyuddin patut undur, kata penganalisis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Soalan mudah pun tunggu Isnin nak jawab

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker