Terima Kasih Warga Utusan, Semoga Roh Intelektualisme Dan Kewartawanan Melayu Tidak Hilang – Ismail Sabri

Kepada semua tenaga kerja Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad atau Utusan Malaysia, terima kasih kerana anda terus setia hingga ke akhirnya, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu juga berharap semoga roh intelektualisme dan kewartawanan Melayu tidak hilang meskipun di mana para pendukung Utusan semua berada.

“Saya percaya, ini bukanlah satu pengakhiran. Ini adalah sebuah permulaan dalam perjalanan pemerkasaan bangsa yang panjang dan berliku.

“Pada masa akan datang, sekiranya Utusan Malaysia diambil alih oleh mana-mana pihak, saya mengharapkan yang pemilik barunya akan berjaya memberikan sentuhan baharu dan segar agar ia mampu bangkit kembali sebagai salah satu akhbar arus perdana yang penting kepada negara dan bangsa.

“Terutamanya dalam menjadikan akhbar ini suara yang waras, berpendirian dan lantang untuk orang Melayu serta sebagai satu wadah pemberdayaan intelek bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini adalah hari terakhir bagi Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad atau Utusan Malaysia beroperasi.

Mengulas lanjut Ismail yang juga Ketua Pembangkang Parlimen berkata Utusan Malaysia atau dahulu dikenali sebagai Utusan Melayu, merupakan suara rasmi bangsa.

“Kini, ia tidak bersuara lagi, buat selamanya. Setelah lebih 80 tahun menjadi korpus ilmu serta pusat penyebaran buah fikiran Melayu, kini kita telah kehilangan salah satu institusi Melayu dalam kekecamukan modernisasi.

“Dimulai oleh Yusof Ishak, Abdul Rahim Kajai dan 20 orang lagi penulis terawal Utusan Melayu (ketika itu), mereka telah berjaya mewujudkan akhbar pertama yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu,” tambahnya.

Jelasnya lagi, sesungguhnya, ia merupakan satu kehilangan yang besar bukan sahaja bagi warga kewartawanan dan media, tetapi juga kepada bangsa Melayu umumnya.

“Akhbar inilah yang dengan konsisten serta ikhlas menaikkan semangat nasionalisme Melayu sejak Mei 1939 lagi.

“Akhbar ini jugalah yang aktif menyebarluaskan idealisme serta saranan-saranan pendiri bangsa agar orang Melayu sentiasa celik pada pengetahuan dan peka pada perubahan serantau.

“Terima kasih, Utusan Malaysia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker