Sidang Parlimen serlah kerajaan berpaut pada dahan rapuh

Sebaran :

Sidang Parlimen serlah kerajaan berpaut pada dahan rapuh

oleh Mohsin Abdullah

Tak kira lah sama ada anda penyokong Anwar Ibrahim atau tidak, perlu diakui ada benarnya kata-kata beliau ketika menyifatkan pembatalan ordinan darurat oleh kerajaan macam “buat di pasar malam”.

Kata-kata itu diluah sebagai reaksi kepada pengumuman Menteri Hal ehwal Parlimen dan Undang-undang Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat semalam (26 Julai) bahawa semua ordinan darurat yang diisytiharkan awal tahun ini dibatalkan 21 Julai lalu. Maknanya Takiyuddin memilih untuk mengambil masa lima hari sebelum memberitahu negara keputusan penting itu.

“Tak boleh kata, umpamanya, hari ini kita isytiharkan darurat pada sesi (kemudian) kata dah batalkan minggu lalu. Ini pasar malamkah?” soal Anwar.

Benar kerana ada prosedur yang mesti diikuti. Ada peruntukkan undang-undang mengikut Perlembagaan yang wajib diambil kira. Ringkasnya apa yang Anwar kata ialah peraturan ordinan diisytihar melalui Yang di-Pertuan Agong maka pembatalannya juga mesti dibuat melalui cara yang sama atau melalui Parlimen.

Tetapi apa yang terjadi ialah kerajaan melalui Takiyuddin secara tiba-tiba mengumumkan apa yang beliau umumkan. Sekali gus memeranjatkan, bukan sahaja Ahli Parlimen, tetapi juga pelbagai pihak termasuk rakyat marhaen.

Warganet menerusi media sosial bertanya sinis jika ketika Perdana Menteri cirit-birit boleh diumumkan melalui kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri, mengapa perkara sepenting pembatalan Ordinan Darurat tidak diumumkan kepada rakyat sebaik sahaja keputusan dibuat?

Hakikatnya ramai yang “syak” ada muslihat. Apatah lagi ramai yang menjangkakan kerajaan akan diuji di Parlimen berkatian ordinan darurat. Ramai termasuk saya percaya pembatalan dibuat pada saat-saat akhir, secara tergesa-gesa. Langkah terdesak. Bak kata bekas Perdana Menteri Najib Razak, kerajaan buat pembatalan “dackdate” .

Mengapa? “Sebab Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bertitah bahawa ordinan darurat perlu dibahas, diundi, dan diluluskan dalam Parlimen.

“Kerajaan PN fikir, jika dibatalkan maka tidak perlu lagi untuk dibahas, diundi, dan diluluskan dalam Parlimen. Takut benor depa dengan undian Dewan Rakyat,” kata Najib di Facebook.

Dalam lain perkataan, kerajaan tidak yakin boleh menang apa-apa undian di Parlimen. Berapa jumlah sokongan majoriti yang dimilikinya tidak pernah diumumkan secara rasmi sejak ia memasuki pintu belakang (atau tebuk atap menurut Presiden PAS, Abdul Hadi Awang) untuk menjadi kerajaan Februari tahun lalu.

Lantas, jika tewas pengundian bererti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan tumbang.

Pembatalan ordinan darurat seperti yang diumum kerajaan semalam membuka pelbagai persoalan. Khususnya mengenai langkah dan tindakan yang diambil kerajaan sejak 21 Julai. Bagi Najib, “semua kompaun melebihi RM1,000, semua penggunaan wang kerajaan tanpa ikut bajet, dan penggunaan dana KWAN pun tidak sah sejak minggu lepas.”

Bukan Najib seorang yang beranggapan begitu. Satu lagi persoalan penting, adakah pembatalan itu sudah mendapat perkenan Agong? “Sehingga kini kerajaan tak jawab sekiranya mereka telah dapat perkenan walaupun telah ditanya beberapa kali,” menurut Najib. Persoalan juga timbul adakah ia sudah diwartakan?

Apa pun, realitinya, tidak ada pengundian berhubung ordinan darurat di Parlimen . Dengan tidak adanya pengundian di Parlimen, Muhyiddin dan kerajaannya masih memerintah. Masih berpaut pada dahan walaupun dahan semakin rapuh.

Apa tidaknya. Pelbagai masalah sedang dialami. Pada hari sidang khas Parlimen diadakan, kumpulan doktor kontrak di hospital kerajaan mengadakan protes serentak di seluruh negara menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya lebih baik.

Hartal Doktor Kontrak diadakan walaupun dikatakan ditekan “pihak atasan” yang mengancam tindakan dispilin ke atas peserta. Yang jelas kumpulan doktor kontrak sudah tidak tahan lagi akan beban yang dipikul.

Ada juga inisiatif Bendera Hitam yang mendakwa kerajaan gagal menguruskan pandemik dengan berkesan. Kes Covid terus melonjak. Jumlah kematian meningkat. Baru-baru ini diadakan konvoi kereta membawa bendera hitam di beberapa lokasi di tanahair sebagai tanda membawa desakan kerajaan letak jawatan.

Di media sosial, kita kerap diingatkan tindakan 12 menteri India letak jawatan apabila keadaan Covid-19 bertambah buruk. Kita dingatkan juga perletakan jawatan menteri UK apabila beliau melanggar SOP Covid-19.

Maksud di sebalik “peringatan” itu ialah warganet mahu perkara yang sama dilakukan di negara ini.

Ada rakyat biasa yang secara lantang mengkritik melalui satira, lagu, dan juga “ucapan” menuntut para menteri melepaskan jawatan. Pun begitu, tidak ada tanda yang kerajaan akan akur dengan desakan itu.

Kata seorang wartawan veteran: “Kita tandus dalam soal moral politik. Lacking in code of political morality. Tetapi bangga kita orang Islam. Tetapi negara bukan Islam punyai nilai moral politik lebih tinggi. Mereka letak jawatan apabila melakukan perkara yang tidak boleh diterima secara politik. They resign when they do politically unacceptable things.”

Benar. Lihat sahaja apa yang dilakukan atau yang tidak dilakukan golongan VIP kita apabila mereka “do politically unacceptable things”.

Lihat pula Indeks Islamicity. Kajian Indeks KeIslaman kerap mendapati Malaysia yang mengaku negara Islam di kedudukan bawah berbanding New Zealand, Sweden, Belanda, dan Iceland yang duduk di tangga teratas.

Matlamat utama kajian berkenaan ialah untuk menentukan sama ada negara negara Islam atau negara yang jumlah penduduk Islam yang ramai benar-benar Islamik. Yakni menghayati prinsip Al Quran berhubung mentadbir negara, hak asasi manusia, serta hak politik antaranya.

Malangnya dapatan kajian kerap mengatakan sebaliknya. New Zealand umpamanya yang hanya punya 1% penduduk beragama Islam lebih “Islamik” berbanding Malaysia dengan meraih skor indeks tinggi mengenai amalan ekonomi, hak asasi manusia, dan hak politik.

Kita ada kerajaan yang digelar pentadbiran Melayu Islam yang bangga dengan gelaran itu, tetapi hakikatnya, ia kerajaan cakap tak serupa bikin dan sidang Parlimen semalam, membuktikannya. FMT

Sidang Parlimen serlah kerajaan berpaut pada dahan rapuh
Sidang Parlimen serlah kerajaan berpaut pada dahan rapuh


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


https://mykmu.net/2021/07/26/pm-cirit-birit-boleh-umum-kenapa-ordinan-darur


Sebaran :

Leave a Reply