Ribuan pengedar kereta berisiko gulung tikar

Sebaran :

Ribuan pengedar kereta berisiko gulung tikar

Lebih satu perempat daripada 6,000 pusat pengedaran kenderaan terpakai dan baharu di seluruh negara dijangka ‘gulung tikar’ jika sekatan pergerakan penuh berlanjutan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor Chong Boon, berkata pusat pengedaran yang dimiliki oleh kira-kira 4,600 ahli persekutuan itu terjejas teruk apabila tidak dibenarkan beroperasi susulan pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti tertentu.

Katanya, keadaan yang sudah berlanjutan sejak awal bulan lalu turut menyebabkan ahli FMCCAM terpaksa menanggung perbelanjaan sekitar RM120 juta sebulan bagi membiayai gaji pekerja, sewa premis dan pinjaman.

“Sudahlah tidak boleh beroperasi sejak bulan lalu, syarikat kereta terpakai, baharu dan kredit perlu melunaskan tanggungjawab ke atas pekerja, premis dan pinjaman yang membabitkan kos sekitar RM20,000 sebulan bagi setiap pusat pengedaran.

“Kami benar-benar tersepit. FMCCAM menganggarkan 10 hingga 30 peratus daripada 4,600 ahli yang memiliki kira-kira 6,000 pusat pengedaran atau premis terpaksa menamatkan perniagaan jika keadaan ini berlanjutan,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Chong Boon berkata, kebanyakan syarikat kereta terpakai, baharu dan kredit yang bernaung di bawah FMCCAM berdepan kesukaran mengekalkan aliran tunai memandangkan ini adalah kali kedua penutupan operasi penuh terpaksa dilalui.

“Ketika PKP 1.0 Mac tahun lalu, kebanyakan syarikat masih mampu bertahan dengan menggunakan simpanan sedia ada untuk membiayai perniagaan. Akan tetapi, selepas pelaksanaan Fasa 1 PPN dan PKPD, kami tiada lagi sumber kewangan mencukupi.

“Tempoh masa untuk tidak membenarkan kami beroperasi jika berlanjutan akan memberi impak yang sangat besar. Kami tidak lagi mampu bertahan dengan keadaan semasa,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerugian yang terpaksa ditanggung pengusaha kereta terpakai, baharu dan kredit bukan sekadar disebabkan penutupan operasi, tetapi diburukkan lagi dengan risiko kerosakan serta susut nilai kenderaan terpakai.

“Kami menjual kereta terpakai dan ‘recond’ di mana ada yang sudah berusia hampir 10 tahun. Pekerja tidak dibenarkan keluar ke premis dan kereta tidak boleh dihidupkan.

“Ia boleh menyebabkan beberapa kerosakan, antaranya bateri dan sistem brek yang memerlukan kos pembaikan, sekali gus menjejaskan nilainya,” katanya.

Chong Boon berkata, bermula bulan ini, perniagaan syarikat kereta terpakai sedikit ‘bernyawa’ menerusi perniagaan dalam talian selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi kebenaran beberapa prosedur dilaksanakan secara maya.

“Mujur MOT beri kebenaran ke atas beberapa urusan termasuk pendaftaran dan pertukaran hak milik secara dalam talian, manakala prosedur PUSPAKOM juga boleh dijalankan dengan temu janji.

“Justeru, perniagaan digital menyumbang pendapatan sekitar 33 peratus kepada pengusaha. Namun, terlalu sedikit untuk membiayai perbelanjaan bulanan syarikat.

“Akibat tidak boleh beroperasi, kami kehilangan pendapatan sekitar 67 peratus dan ia jumlah yang sangat besar. Jika berterusan, kemungkinan besar banyak premis terpaksa ‘gulung tikar’,” katanya

Beliau mendedahkan, apabila premis kereta terpakai tidak dibenarkan beroperasi, ia bukan sekadar mendatangkan kerugian kepada pengusaha, malah rakyat yang memerlukan juga menerima impak negatif.

“Ada pelanggan yang ingin menjual kereta kerana memerlukan wang untuk keperluan harian tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana semua premis tidak beroperasi. Ia sudah tentu menjejaskan kewangan rakyat yang memerlukan tunai ketika ini,” katanya.

Chong Boon berkata, harapan kini diletakkan kepada kerajaan untuk memberi kebenaran pembukaan semula operasi premis dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Kami amat mengharapkan kerajaan dapat memberi kebenaran operasi. Walaupun dalam keadaan yang terhad termasuk jumlah pengunjung ke premis dan SOP tertentu yang lebih ketat.

“Ia akan membantu perniagaan kami dan rakyat yang kesempitan untuk menjual kereta bagi memenuhi keperluan mendesak lain,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, FMCCAM mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk syor operasi perniagaan dari jam 8 pagi hingga 4 petang dan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan berada di premis.

Beliau berkata, FMCCAM juga mengharapkan kerajaan dapat menawarkan pinjaman mudah, geran dan subsidi untuk syarikat berkaitan bagi membolehkan pengusaha kembali bernafas.

“Kami amat memerlukan sokongan kewangan daripada kerajaan untuk membolehkan kami kekal bertahan dan kembali bangkit selepas semua ini berakhir. Segmen kenderaan terpakai juga penting untuk memajukan ekonomi negara.

“Kami amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan sesuatu kerana impak penamatan operasi besar kepada syarikat dan pekerja,” katanya.
BH

Ribuan pengedar kereta berisiko gulung tikar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


https://mykmu.net/2021/07/26/pm-cirit-birit-boleh-umum-kenapa-ordinan-darur


Sebaran :

Leave a Reply