Zaid Ibrahim cabar MP Umno duduk sebelah pembangkang jika tidak menyokong kerajaan

 

Zaid Ibrahim cabar MP Umno duduk sebelah pembangkang jika tidak menyokong kerajaan Zaid Ibrahim mencabar Ahli Parlimen Umno memutuskan sama ada mereka akan terus menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan duduk di barisan kerajaan dalam sidang khas Parlimen esok.

Bekas menteri undang-undang itu menyifatkan ia tidak masuk akal jika Umno mendakwa tidak lagi menyokong perdana menteri tetapi masih bersama kerajaan.

Beliau turut mendesak semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang supaya berhenti memikirkan soal kepentingan politik masing-masing tetapi nyatakan pendirian sama ada ingin menyokong kerajaan atau pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu, ramai Ahli Parlimen yang mengkritik perdana menteri dan kerajaan tetapi mereka tidak semestinya bersama pembangkang. Dalam sistem kita, tidak menyokong perdana menteri bermaksud tidak menyokong kerajaan.

“Sebaliknya, disebabkan mereka duduk di kerusi barisan kerajaan, kita boleh katakan mereka sebahagian daripada kerajaan, walaupun menyerang perdana menteri,” katanya.

“Rakyat hanya ingin tahu perkara sebenar, jangan ada lagi lakonan untuk mereka. Mereka juga tidak perlu akuan bersumpah (SD) atau hadapi pendirian berubah-ubah yang hanya lebih mengelirukan,” katanya kepada FMT.

Zaid berkata rakyat mahu tahu siapa Ahli Parlimen yang memiliki “ketertiban dan keberanian” untuk melakukan perubahan terhadap kerajaan dan menunjukkan pendirian sebenar mereka.

Beliau juga menggesa Muhyiddin berpegang kepada kata-katanya yang diucapkan ketika pelancaran mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020 apabila dia mahukan demokrasi berparlimen untuk Malaysia.

“Jika begitu, benarkan supaya usul pemimpin pembangkang dapat dibahaskan dan diundi oleh Ahli Parlimen. Jika usul itu gagal, ia membuktikan anda mempunyai majoriti dan boleh teruskan memerintah.

“Dengan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan anda, tidak mungkin pembangkang dapat mengumpulkan cukup kerusi di Parlimen untuk mengundi anda keluar. Mari jadikan sidang Parlimen minggu depan sebagai persidangan yang penuh bermakna.”

Zaid turut mempersoalkan mengapa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul Anwar untuk membahaskan ordinan darurat dan adakah ia disebabkan kebimbangan sama ada Muhyiddin kehilangan sokongan besar Ahli Parlimen.

“Saya ingin percaya bahawa Peguam Negara betul ketika berkata tidak ada fakta menunjukkan perdana menteri kehilangan sokongan majoriti. Saya juga ingin percaya kenyataan Zuraida Kamaruddin bahawa perdana menteri mempunyai sokongan lebih daripada mencukupi untuk menang undi tidak percaya.

“Tetapi tingkah laku speaker menyatakan sebaliknya. Mengapa timbulkan kesilapan teknikal usul yang diberikan oleh pemimpin pembangkang hingga boleh menolak permintaan supaya usul ordinan darurat itu dapat dibahas?

“Mengapa tidak perbetulkan kesilapan itu dan membenarkan usul dibentang dalam Dewan dan membuat pengundian?

“Ini adalah masanya untuk kembali kepada kerajaan yang berfungsi sebaiknya dan hilangkan rasa curiga sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti,” katanya.

Pada 12 Julai, Anwar menghantar satu usul untuk dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang dan bukannya menumpukan terhadap pembentangan berkaitan urusan kerajaan.

Namun semalam Azhar berkata beliau menolak usul presiden PKR itu kerana ia dihantar terlalu awal apabila difailkan tiga hari sebelum notis sidang khas Parlimen dikeluarkan.

“Aturan Mesyuarat 11(3) secara jelas menyatakan urusan sesi sidang khas harus diputuskan oleh perdana menteri. Dalam perkara ini, usul anda tidak diambil kira di bawah perkara sidang khas yang mana ia telah diputuskan,” kata Azhar kepada Anwar dalam jawapan bertulis.

Zaid Ibrahim cabar MP Umno duduk sebelah pembangkang jika tidak menyokong kerajaan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penjawat awam buat hal lagi, kini terbabit ‘Parti Liar’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker