Konvoi ‘Bendera Hitam’ tanda bantahan terhadap kerajaan

Sebaran :

Konvoi ‘Bendera Hitam’ tanda bantahan terhadap kerajaan

Sekumpulan peserta mengambil bahagian dalam konvoi berkereta di ibu negara sebagai tanda bantahan terhadap pengurusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik Covid-19.

Terdapat sekitar 10 kenderaan mengibarkan bendera hitam sekitar jam 11.20 pagi bermula dari Stesen LRT Bangsar menuju ke Dataran Merdeka sebelum berpatah balik ke stesen terbabit.

Konvoi lebih sejam itu turut diadakan serentak di beberapa negeri lain seperti Kedah, Melaka, Johor dan Sarawak.

Difahamkan, konvoi terbabit adalah permulaan kepada perhimpunan “Keluar dan #Lawan” yang akan diadakan pada 31 Julai nanti.

Beberapa polis turut mengiringi konvoi itu dan mengawal aliran lalu lintas di sekitar ibu kota.

Wakil Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang juga penganjur acara itu, berkata polis trafik amat memberikan kerjasama dalam mengawal lalu lintas.

“Mereka (polis) amat membantu kami dan tiada provokasi ditimbulkan oleh mana-mana individu,” kata Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar kepada wartawan.

Dia meminta orang ramai turut menyertai bantahan itu dengan mengibarkan bendera dari kenderaan sambil memandu dalam kawasan sekitar 10km di rumah masing-masing.

Katanya, peserta juga turut diingatkan supaya sentiasa patuh peraturan jalan raya, elakkan provokasi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sabtu lalu, SSR menganjurkan bantahan berskala kecil di Dataran Merdeka yang disertai 20 orang peserta berpakaian serba hitam.

Mereka turut membawa patung jenazah sebagai simbolik kepada peningkatan kes kematian dan bunuh diri akibat pandemik dan 14 bendera hitam menjadi “suara” kemarahan rakyat seluruh negara.

Antara permintaan mereka termasuk mendesak perdana menteri meletakkan jawatan, sidang parlimen diadakan secara penuh dan pemberian moratorium pinjaman secara automatik untuk semua.

Protes itu juga menyebabkan tiga penganjur Muhammad Nur Taufiq Azhar, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar, dan Mohammad Alshatri Abdullah dikenakan denda RM2,000 setiap seorang kerana melanggar SOP.

Ditanya sama ada SSR akan meneruskan perhimpunan itu walaupun dikenakan tindakan denda baru-baru ini, Asraf berkata hukuman berkenaan tidak akan menghentikan acara yang sudah dijadualkan.

“Sudah tentu, saya takut. Saya cuma rakyat biasa tetapi bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan,” katanya. FMT

Konvoi ‘Bendera Hitam’ tanda bantahan terhadap kerajaan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kalau minta RM100, dia bagi tak?


Sebaran :

Leave a Reply