Nazri kata tindakan ‘bocor’ mesyuarat MKT tepat demi kebenaran

Sebaran :

Nazri kata tindakan ‘bocor’ mesyuarat MKT tepat demi kebenaran. Tindakan pihak tertentu termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ‘membocorkan’ maklumat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO minggu lalu, adalah tepat bagi membolehkan naratif sebenar di sebalik keputusan badan tertinggi parti itu diketahui umum.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, naratif yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejurus selepas mesyuarat MKT sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan keputusan MKT UMNO, sebaliknya hanya menyatakan pendirian yang dikehendaki beliau.

Jelasnya, dakwaan kononnya 50 daripada 52 ahli MKT UMNO bersetuju menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan serta-merta juga tidak betul kerana sekurang-kurangnya 15 ahli MKT memaklumkan kepada beliau, mereka tidak bersetuju dengan usul itu.

“Saya fikir sikap Presiden UMNO dan pemimpin pro beliau yang kerap memberikan naratif tidak tepat dalam memaklumkan setiap keputusan mesyuarat MKT, menyebabkan ada orang UMNO terpaksa membocorkan maklumat mesyuarat kepada umum.

“Tindakan kumpulan ini termasuk Annuar sendiri, bagi saya adalah tepat kerana mereka mahu mendedahkan benda yang betul…Supaya perkara sebenar yang berlaku dalam mesyuarat MKT tidak dimanipulasi penyokong pro Presiden (UMNO),” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyelar tindakan pihak tertentu dalam UMNO bertindak menyebarkan rakaman audio tular perbincangan mesyuarat MKT serta transkrip verbatim keputusan mesyuarat yang dibacakan oleh Ahmad Zahid.

Terbaharu, rakaman audio percakapan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam mesyuarat MKT Rabu minggu lalu telah ditularkan sejak Isnin malam lalu dan disahkan sendiri oleh bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO itu.

Tajuddin kemudiannya telah diumumkan tidak lagi memegang jawatan penting dalam UMNO berkenaan dan digantikan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkuat kuasa pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri turut berpandangan agak naif sekiranya penyokong pro Ahmad Zahid menganggap tiada pihak yang cuba untuk merakamkan intipati mesyuarat MKT yang diadakan secara maya.

“Apabila pucuk kepimpinan UMNO memutuskan mesyuarat MKT diadakan secara maya, di belakang ahli-ahli MKT yang menyertai mesyuarat pastinya ada pihak lain yang mengikuti perjalanan mesyuarat berkenaan.

“Kalau intipati mesyuarat MKT secara fizikal pun boleh dibocorkan, apalah sangat mesyuarat secara maya? Nampak sangat penyokong pro Zahid ini tidak matang,” katanya.

Mohamed Nazri turut mengingatkan Ahmad Zahid agar tidak terlalu yakin untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan bercakap seolah-olah UMNO memiliki 138 ahli Parlimen.

“Jangan jadi tidak bijak, kita cuma ada 38 ahli Parlimen…Tetapi Zahid bercakap seolah-olah macam UMNO ada 138 ahli Parlimen.

“Kalau kita rasa yakin untuk jatuhkan kerajaan sedia ada, UMNO akhirnya akan menumpang kuasa pada kerajaan baharu dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Adakah situasi ini dimahukan ahli-ahli UMNO?” katanya.

Nazri kata tindakan ‘bocor’ mesyuarat MKT tepat demi kebenaran

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Menteri UMNO sokong Muhyiddin sedang lakukan kamikaze


Sebaran :

Leave a Reply