Parlimen: Peluang PN buktikan dapat sokongan majoriti

Parlimen: Peluang PN buktikan dapat sokongan majoriti. Persidangan Parlimen bermula 26 Julai ini merupakan peluang terbaik kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, dalam keadaan negara menghadapi pelbagai isu kesihatan dan ekonomi, kerajaan perlu mengesahkan legitimasinya dan mengembalikan fungsi Parlimen.

Menurutnya, legitimasi kerajaan penting bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan serta meyakinkan pelabur dan pasaran.

“Selain itu, ia penting bagi menghentikan politiking dengan tekaan jajaran parti baharu dan menghentikan spekulasi ahli Parlimen A atau B menyokong siapa serta menstabilkan politik negara.

“Serahkan sahaja kepada kebijaksanaan ahli Parlimen untuk memikirkan parti mana, siapa dan kerajaan mana yang terbaik untuk negara. Mereka yang mempunyai kuasa mengundi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, ahli jemaah menteri sebulat suara kekal memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui pucuk pimpinan negara.

Ahli jemaah menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

Menurut kenyataan itu, keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik Covid-19.

Mengulas isu itu, Mohammad Agus berkata, sebagai memenuhi konsep tanggungjawab kolektif, wajar bagi semua jemaah menteri menyatakan sokongan mereka.

“Jika tidak, menteri yang berseberangan perlu meletakkan jawatan. Lebih signifikan lagi yang perlu diketahui ialah sokongan majoriti bukan ditentukan oleh menteri, tetapi 222 ahli parlimen.

“Jika tujuan melaporkan semua menteri memberi sokongan adalah untuk menunjukkan perdana menteri mempunyai majoriti, itu tidak menjawab persoalan asas yang menjadi perdebatan sekarang iaitu adakah beliau mempunyai majoriti untuk terus berkuasa?” Soalnya.

Tambah Mohammad Agus, jika kerajaan gagal mendapat undi percaya, perdana menteri perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan kepada Seri Paduka Baginda untuk membuat keputusan mengikut budi bicara Seri Paduka Baginda (Perkara 40(2)).

Beliau berpendapat, pilihan raya tidak wajar dilakukan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangka kerana suasana tidak kondusif.

“Saya ingin meminta kerajaan menyelesaikan masalah legitimasi ini dengan menguji sokongannya di dewan pada 26 Julai nanti dan meminta kerajaan membuka Parlimen kerana data menunjukkan darurat tidak berkesan untuk mengawal Covid-19.

“Negara perlu stabil untuk maju. Rakyat perlu makmur untuk sejahtera,” katanya.

Parlimen: Peluang PN buktikan dapat sokongan majoriti


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Menteri UMNO sokong Muhyiddin sedang lakukan kamikaze

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker