Gara-Gara Buat Baju Patung Barbie Rupanya Pemuda Ini Pereka Beg Tangan Jadi Perhatian

Gara-Gara Buat Baju Patung Barbie Rupanya Pemuda Ini Pereka Beg Tangan Jadi Perhatian

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berjalan ketika ini membuatkan ramai daripada kita mencari pelbagai idea untuk mengurangkan rasa bosan duduk di rumah.

Meskipun keadaan ketika ini sukar namun ramai yang cuba mencari jalan ‘keluar’ bukan sahaja untuk mengisi masa lapang tetapi memanfaatkan waktu dengan aktiviti berfaedah.

Bagi pereka fesyen, Abdul Muhaimin Abdul Hadi, sejak awal Jun lalu, dia menggunakan kemahirannya menghasilkan pakaian untuk patung Barbie sebagai mengisi masa lapang dan mengasah kemahiran menjahitnya di rumah.

Diam tak diam, jejaka berusia 26 tahun ini sudah pun menghasilkan 20 helai pakaian patung Barbie pemberian rakan baiknya ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

“Sebagai graduan bidang fesyen, menjahit dan melukis tentunya sesuatu yang dekat dengan saya. Di musim PKP ini, saya banyak menghabiskan masa di rumah melakukan aktiviti tersebut.

“Bagi menampilkan kelainan, saya buat baju patung Barbie sebagai solusi untuk mengekalkan aktiviti menjahit tanpa perlu menggunakan fabrik yang banyak.

“Kebetulan di rumah memang terdapat banyak kain-kain perca jadi saya gunakan untuk elakkan pembaziran selain bermain dengan kreativiti,” ujar anak kelahiran Sungai Buloh, Selangor ini.

Rekaan pakaian tradisional tarik perhatian netizen

Bercerita lanjut mengenai hobinya itu, Abdul Muhaimin berkata, kebanyakan koleksi pakaian Barbie itu adalah busana tradisional Malaysia yang cukup dekat dengan masyarakat.

Abdul Muhaimin menjelaskan selain fabrik tersebut ada dalam simpanannya, dia memilih rekaan itu kerana merasakan busana tradisional untuk patung Barbie sesuatu yang jarang dapat dilihat.

“Apabila saya muat naik foto hasil rekaan di laman sosial saya mahu membuat orang ramai teruja dengan rekaan dihasilkan memandangkan jarang patung Barbie tampil dengan pakaian tradisional. Sedikit sebanyak dapat menghiburkan sesiapa melihat pada waktu sukar ketika ini, ” katanya.

Menjelaskan proses pembuatan pakaian Barbie, Abdul Muhaimin memberitahu ia hampir serupa dengan baju biasa tetapi ia dalam saiz lebih kecil.

Sebelum menghasilkan sesuatu rekaan, dia akan memilih fabrik yang sesuai dari segi warna, corak dan ketebalan sesuatu kain itu.

Kemudian saya akan cari beberapa idea pakaian di internet sebagai rujukan dan mula memotong kain mengikut kesesuaian sebelum dijahit menggunakan mesin jahit portable.

“Baju yang telah siap saya akan pakaikan pada patung Barbie dan memuat naik gambar di media sosial, ” katanya.

Bagaimanapun katanya, menjahit pakaian Barbie bukan semudah disangka apatah lagi ia dalam saiz yang kecil.

“Banyak juga baju yang dihasilkan tidak menjadi dan terpaksa dibuang. Namun dari situ saya belajar dan terus mencuba. Ia perlukan kesabaran dan juga ketelitian untuk mendapatkan hasil diinginkan, ” katanya.

Ada perniagaan sendiri, belum ada hasrat jual pakaian Barbie

Di sebalik keghairahannya menghasilkan pakaian patung Barbie, Abdul Muhaimin sebenarnya cukup aktif menghasilkan beg menggunakan fabrik.

Lebihan kain daripada pembuatan beg itu juga digunakan untuk menghasilkan baju untuk Barbie sebagai salah satu cara mengurangkan pembaziran fabrik.

“Sejak menamatkan pengajian pada tahun lalu saya bersama seorang rakan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan membuatkan beg daripada pakaian terpakai dibawah jenama Hashadi yang dijual di Instagram.

“Buat masa kini, saya lakukan ini hanya sekadar mengisi masa lapang dan fokus utama kepada pembuatan beg namun ada juga perancangan untuk menghasilkan lebih banyak pakaian Barbie untuk dijual dimasa akan datang.

“Sebelum ini saya pernah menjual salah satu koleksi saya kepada rakan di Twitter, ” katanya.-mSTAR

Gara-Gara Buat Baju Patung Barbie Rupanya Pemuda Ini Pereka Beg Tangan Jadi Perhatian


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

“Saya Mahu Kelihatan Plastik”- Demi Dapat Wajah Seperti Patung Ken, Kekasih Barbie

Gara-Gara Wajah Cantik Semula Jadi, Ramai Lelaki Rayu ‘Manusia Barbie’ Jual Sel Telur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker