Pendirian terkini UMNO, Zambry rujuk pimpinan tertinggi komponen BN

Sebaran :

Pendirian terkini UMNO, Zambry rujuk pimpinan tertinggi komponen BN. Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mendapatkan pandangan pimpinan tertinggi parti komponen untuk mengadakan perbincangan berhubung keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata, secara dasarnya, sebarang ketetapan yang diputuskan di peringkat parti komponen, ia akan dimaklumkan dalam peringkat BN secara keseluruhan.

“Dalam hal ini saya akan rujuk dengan pimpinan komponen terlebih dahulu kerana sepertimana kita sedia maklum, apa juga yang diputuskan di peringkat komponen, tentunya akan dimaklumkan di peringkat BN,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kotak makanan kepada lebih 400 pekerja sektor pelancongan di Pulau Pangkor di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas cadangan MIC yang mahu pendirian UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri perlu dibincang dalam Majlis Tertinggi BN sebelum dimuktamadkan.

Pada 8 Julai lalu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu perlu kerana sokongan yang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin sebelum ini tidak diwakili oleh satu-satu parti, sebaliknya di bawah persepakatan BN.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, apa juga keputusan dan pendirian penting yang melibatkan BN adalah dibuat secara konsensus tanpa berbelah bahagi.

Katanya, prinsip itu telah menjadi amalan parti sejak sekian lama yang merujuk kepada pimpinan tertinggi parti-parti komponen.

“Setiap parti komponen berhak menyuarakan pandangan mereka, tidak ada salahnya.

“Tetapi mustahaknya apabila ada satu keputusan besar yang hendak melibatkan BN, maka keputusan dibuat itu adalah konsensus, makna kata tidak ada berbelah bahagi kerana itulah prinsipnya dan amalan BN selama ini,” katanya.

Pada Jumaat, Zambry menegaskan tidak dapat mengesahkan kesahihan surat mengatakan Ahli Parlimen BN menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas memaklumkan surat dikeluarkan itu tidak berlogo dan tidak bernama.

Pendirian terkini UMNO, Zambry rujuk pimpinan tertinggi komponen BN


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ismail Sabri boleh kembalikan kepimpinan UMNO – Penganalisis


Sebaran :

Leave a Reply