Kes covid terus naik kerana kilang beroperasi

Kes covid terus naik kerana kilang beroperasi dakwa Ahli Parlimen

Walaupun sudah hampir seminggu di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), jumlah kes Covid-19 di Lembah Klang masih meningkat, sekali gus mengundang dakwaan kerajaan lebih mementingkan kehendak majikan kilang.

Kerajaan berkata peningkatan kes disebabkan penambahan saringan bersasar yang dilaksanakan di kawasan di bawah PKPD. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan bila saringan akan mencapai kemuncak atau kes akan menunjukkan penurunan.

Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan bilangan kes yang tinggi sejak seminggu lalu. Selangor melaporkan 3,119 kes semalam dan rekod baharu 4,152 hari ini, manakala Kuala Lumpur pula 1,005 dan 1,133 kes dalam tempoh dua hari lalu.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menjangka jumlah kes meningkat lagi.

“Adakah mereka telah berhenti melakukan pengesanan kontak? Adakah mereka cuma memfokuskan terhadap imunisasi? Bilangan jangkitan dijangka meningkat lebih lagi dan kakitangan kesihatan sudahpun terbelenggu,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Gopeng dari PKR itu menambah, sepatutnya jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur turun sejak PKPD dilaksanakan pada 3 Julai.

“Namun kini keadaan lebih teruk,” katanya merujuk kepada kes di Kuala Lumpur apabila 616 kes Covid-19 dilaporkan pada 3 Julai, berbanding 1,133 hari ini.

Kes di Selangor pula berganda daripada 2,262 pada 3 Julai menjadi 4,152 hari ini, katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes itu akibat peningkatan langkah kesihatan awam di kawasan PKPD.

“Ketika PKPD, aktiviti kesihatan awam boleh dikhususkan dengan lebih lagi. Pengesanan kontak rapat dan aktiviti saringan kesihatan terutama melibatkan individu bergejala lebih banyak dilaksanakan,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, kerajaan gagal mengawal keadaan seterusnya mengakibatkan keluarga miskin dan perniagaan terseksa.

“Kerajaan tidak tahu apa yang ia cuba selesaikan,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, pihak perancang di Putrajaya melaksanakan strategi salah dalam mengekang jangkitan. Sebagai contoh, katanya, mereka dilihat ‘tunduk’ dengan pengurusan kilang.

“Banyak kilang tidak mematuhi prosedur. Ada yang didapati membenarkan pekerja yang sah positif Covid-19 bertugas di satu bahagian kilang, manakala mereka yang tidak dijangkiti di bahagian lain. Mereka juga diasingkan di asrama di mana SOP tidak dipatuhi,” katanya.

Santiago berkata, memandangkan hanya 30% hingga 40% pekerja dibenarkan memasuki kilang, kebanyakan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

“Mereka mencari cara bekerja tanpa ditangkap,” katanya dengan menambah disebabkan itu kemungkinan besar jangkitan tidak akan menurun.

Santiago berkata, darurat yang dilaksanakan sejak Januari gagal menurunkan jumlah jangkitan malah Malaysia hari ini merekodkan 8,868 kes.

Katanya, ini mungkin mengakibatkan PKPD dilanjutkan seterusnya lebih banyak perniagaan ditutup.

“Lebih ramai orang akan kehilangan kerja, lebih ramai yang membunuh diri,” katanya.

Santiago, yang turut membantu mengagihkan makanan kepada golongan miskin mengakui dirinya sukar tidur selepas menemui keluarga susah dan mendengar rintihan mereka yang tiada makanan, kerja atau wang.

“PKPD lagi tidak akan membantu melainkan strategi yang betul digunakan,” katanya.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, orang awam telah hilang keyakinan terhadap kerajaan.

“Mereka telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan, mungkin itu sebab ada yang tidak mahu mematuhi peraturan,” katanya. FMT

Kes covid terus naik kerana kilang beroperasi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bila pula saya sokong Muhyiddin – Najib

Kenapa tiada orang suruh saya ‘out’ – TMJ

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker