Enam ahli keluarga maut akibat COVID-19 dalam 15 hari

Enam ahli keluarga maut akibat COVID-19 dalam 15 hari

Bukan seorang tetapi enam ahli keluarga termasuk ibu bapa dan adik seorang guru tadika, menjadi korban COVID-19 dalam tempoh 15 hari termasuk kehilangan ibu bapa dan seorang adiknya.

Guru tadika, Farah Adilah Samsudin, melalui detik yang tidak pernah dibayangkan apabila turut kehilangan dua ibu saudara serta seorang bapa saudaranya daripada 13 ahli keluarga terdekatnya dijangkiti penyakit itu.

“Memang tidak pernah dibayangkan apabila sepupu yang menjadi individu pertama disahkan positif hanya mengalami batuk biasa sebelum ke klinik bagi mendapatkan sijil sakit berikutan beliau bekerja dari rumah.

“Di klinik, jururawat mengesyorkan sepupu dan ibunya menjalani saringan berikutan Gombak Setia berada di zon merah.

“Hasil ujian itu dia positif, ibunya negatif,” katanya yang berkongsi bagaimana keluarganya dijangkiti pandemik itu ketika tampil dalam forum ‘Bicara Kebajikan, Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul’ kendalian Sekretariat Tabung Bencana Covid PAS Pusat, malam tadi.

Farah Adilah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, berkata ibunya, Azizah Mohd Yusoff meninggal dunia selepas bertarung nyawa dalam unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak 2 Jun sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 Jun.

“Lepas ibu saya meninggal dunia, ibu saudara, Normah Mohd Yusoff dan adik, Farah Nadiyah meninggal dunia pada 23 Jun. Bapa saya, Shamsudin Abdullah meninggal dunia pada 27 Jun.

“Seterusnya, ibu dan bapa saudara, Hasmah Mohd Yusoff dan Abd Razak Noor masing-masing meninggal dunia pada 30 Jun lalu,” katanya.

Farah Adilah berkata, sepupunya ketika disahkan mengalami jangkitan itu, menghubunginya memandangkan mereka tinggal berjiran sekali gus menjadi kontak rapat kerana ada berjumpa sebelum itu.

“Kami tinggal hanya selang sebuah rumah. Jadi apabila sepupu beritahu dia positif, saya sekeluarga memang terkejut kerana selalunya kita hanya dengar orang lain dijangkiti COVID-19.

“Saya terus terfikir tentang anak-anak, selain segera menghubungi ibu saudara yang tinggal di rumah hadapan, kerana dia juga mengadu mengalami batuk. Adik pula memang tinggal dengannya, sudah mula tidak sihat jadi memutuskan untuk pergi bersama menjalani ujian,” katanya.

Susulan daripada ujian itu, Farah Adilah, dua anaknya serta adiknya positif sementara ibu saudara didapati negatif, manakala ibu bapa kepada sepupu sudah diarahkan ke klinik menjalani ujian.

Katanya, memandangkan mereka berlima sudah positif, beliau memujuk ibu dan bapanya yang tinggal di taman perumahan yang lain turut menjalani ujian saringan.

“Ibu tidak mahu kerana takut persepsi orang, jadi saya paksa suami membawa ibu bapa saya untuk ujian, dan mereka positif kecuali suami. Ketika itu, bapa saya pengsan di klinik berikutan keadaannya sudah tidak bermaya hingga dikejarkan ke Hospital Selayang, namun kes itu ditolak berikutan dia positif COVID-19.

“Susulan itu, kami bertujuh yang positif diarahkan ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Gombak Setia dengan saya, ibu bapa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB), sementara adik dan dua anak saya boleh kuarantin di rumah,” katanya.

Farah Adilah berkata, ahli keluarga lain yang negatif diarah menjalani ujian calitan kali kedua, namun akhirnya semua mereka disahkan positif pada 7 Jun menjadikan keseluruhan 13 orang dijangkiti termasuk seorang pembantu rumahnya.

“Beberapa hari ibu dirawat di ICU, kami diberitahu ibu akan ditidurkan, disusuli adik untuk dilakukan perkara sama. Sepupu serta anak-anak pula diminta ke CAC pada 7 Jun untuk menilai keadaan diri dan membuka gelang merah jambu, tetapi ketika itu sepupu saya pula dibawa ke hospital susulan kesihatan kian merosot.

“Susulan itu sepupu dirawat di ICU dan pada 22 Jun, baru dia dibenarkan keluar daripada hospital, namun keesokannya ibunya meninggal dunia, disusuli bapanya meninggal pada 30 Jun,” katanya.

Farah Adilah berkata, saat mendapat panggilan dari HSB cukup mendebarkan, selain trauma berikutan sejak 15 Jun sudah ada enam kematian semuanya angkara COVID-19.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan orang ramai supaya mendoakan kesejahteraan keluarganya dan memohon mereka diberikan kekuatan menerima takdir yang Allah sudah tentukan.

“Tiada daya bagi kami kini selain berserah pada Allah. Kami mohon beri ruang untuk kami bertenang dan meredakan emosi kami, kami berserah sepenuhnya pada Allah yang maha mengatur segala-galanya,” katanya menerusi Facebook. BH

Enam ahli keluarga maut akibat COVID-19 dalam 15 hari


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PKPD untuk siapa sebenarnya? – Che Ta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker