Keputusan buka Parlimen kini di tangan Muhyiddin
Keputusan buka Parlimen kini di tangan Muhyiddin
Keputusan buka Parlimen kini di tangan
PM, kata pembangkang
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu membuka semula Parlimen sebelum Ogos selepas Yang di-Pertuan Agong menyatakan hasratnya dengan jelas, kata ahli politik dari kedua-dua parti pembangkang.
Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah kehabisan alasan untuk menunda pembukaan Parlimen, sambil menambah kenyataan oleh ketua kedua-dua Dewan membuktikan tidak ada masalah undang-undang atau teknikal yang menghalangnya.
“Sejak awal lagi, Agong sudah berkata “secepat mungkin”. Apabila beliau berkata demikian, semua orang berpandangan bahawa Parlimen mesti bersidang semula seberapa segera, sekurang-kurangnya bukan dalam masa tiga bulan.
“Keputusan sekarang berada di tangan Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Tanjong Malim itu kepada FMT.
Dalam satu kenyataan hari ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata, Yang di-Pertuan Agong mahu Parlimen bersidang semula sebelum 1 Ogos, iaitu ketika Darurat berakhir.
Terdahulu, Istana Negara berkata Agong menitahkan agar Parlimen bersidang semula “secepat mungkin”, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, Agong belum menetapkan tarikh secara khusus.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz turut memuji keputusan Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah yang tepat, sambil menambah persidangan itu perlulah berjalan seperti “biasa” dan bukannya terhad kepada perkara yang berkaitan dengan Covid-19.
“Biasa, maksudnya kami dapat mengajukan pertanyaan kepada menteri, mengemukakan usul. Bukan sekadar duduk selama satu minggu dan hanya bercakap mengenai Covid-19.
“Saya mahukan persidangan biasa supaya kami dapat mengajukan banyak pertanyaan dan kita boleh berbahas,” katanya kepada FMT yang tidak keberatan jika prosiding itu bersifat fizikal atau hibrid.
Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataan Takiyuddin berhubung titah Agong awal bulan ini yang menegaskan bahawa membuka Parlimen “secepat mungkin” masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Sekarang mereka ingin membincangkan mengenai sidang hibrid. Perintah Tetap tidak membenarkan persidangan hibrid, jadi kami memerlukan persidangan khas untuk mengubah Perintah Tetap. Oleh itu ia akan mengambil lebih daripada satu atau dua minggu untuk Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’.
“Tetapi yang paling penting adalah Agong sudah bertitah dan kerajaan melaksanakannya,” kata Nazri.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, Parlimen yang kembali bersidang pasti akan membantu mengembalikan rasa kebertanggungjawaban dan kredibiliti kepada kerajaan “yang sangat memerlukannya”.
“Lihatlah timbalan speaker dan pesta duriannya yang tidak memberi keyakinan dan kepercayaan,” katanya kepada FMT, sambil menyifatkan alasan sebelumnya untuk menangguhkan persidangan Parlimen sebagai “memalukan”.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong menunjukkan beliau sama-sama prihatin dengan keadaan di negara ini sama seperti rakyat lain, sambil menambah Putrajaya “tidak dapat mengawal” apa yang berlaku.
Katanya kepada FMT, pembukaan semula Parlimen akan memberikan kepemimpinan ke atas situasi tersebut, walaupun ia tidak sepatutnya sampai ke peringkat di mana Yang di-Pertuan Agong perlu mendahului pemerintahan.
“Cukup jelas bahawa Agong menyatakan hasratnya kepada Speaker dan bukannya Perdana Menteri. Ini menunjukkan baginda telah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin dan kemampuannya untuk melaksanakan tugasnya,” kata Ahli Parlimen DAP itu.
“Kerajaan ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Darurat ini diisytiharkan oleh Agong. Oleh itu, apabila rakyat mengadu, secara tidak langsung mereka mengeluh tentang keputusan baginda, dan kenyataannya hari ini menunjukkan bahawa beliau mendengar kebimbangan rakyat.” FMT
Keputusan buka Parlimen kini di tangan Muhyiddin
Baca Artikel Menarik :
- Kelulusan pergerakan individu bekerja sendiri hingga 7 Julai
- Vaksin: Kerajaan fokus sektor industri beroperasi ketika PKP
- Bella : Sekarang Dia Cuba Berubah
- Dadah RM23.72 juta dibawa melalui trak ditahan
- Adab berjiran jika kelaparan tidak perlu tunggu kerajaan
- Resepi Ikan Bawal Emas Masak Lemak Cili Padi Cekur
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.