Pekerja restoran didenda RM400 pasang bendera terbalik

TAWAU: Seorang pekerja sebuah restoran didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memasang Jalur Gemilang secara terbalik, Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang juga warga Indonesia, Obas Edwin Tulame, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah restoran makanan laut di Kubota Square, Jalan Kubota, kira-kira jam 11.15 pagi, pada 13 Ogos tahun lalu.



Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun yang sama kerana melakukan mudarat awam serta menyebabkan kegusaran am kepada orang awam, jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga RM400.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinawati Ag Kachee, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran, selain memberi kesedaran kepada masyarakat umum.

“Walaupun hukuman tidak tinggi, namun kesalahan ini adalah sangat serius kerana membabitkan bendera kebangsaan.

“Tertuduh sepatutnya lebih mengambil perhatian atau ambil tahu kedudukan bendera yang dipasang memandangkan tertuduh bekerja di sini walaupun bukan berasal dari negara ini,” katanya.



Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut sama ada denda dibayar atau pun tidak.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker