Tak wajar pajak, jual Lapangan Terbang Subang


Tak wajar pajak, jual Lapangan Terbang Subang

Cadangan untuk menjual atau memajak Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang kepada sebuah syarikat swasta adalah tidak wajar kerana ia adalah aset strategik yang sangat bernilai, sekali gus bercanggah dengan kepentingan nasional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pihaknya sangat dukacita dan kesal jika perkara itu dibenarkan berlaku.

Justeru, katanya, apa yang dibangkitkan oleh Kesatuan Pekerja Pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada 21 Jun lalu berhubung isu berkenaan perlu dilihat secara mendalam.

“LTSAAS Subang adalah aset strategik dengan milikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang mana majoriti rakyat ada kepentingan terus melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP),” katanya dalam kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga berkata, LTSAAS Subang juga adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya besar lain seperti Shah Alam, Kelang dan Petaling Jaya.

“Kita telah lama kehilangan lapangan terbang Sungai Besi yang sangat strategik. Jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi.

“Kerana kepentingan strategik berkenaan, ia harus kekal menjadi aset milikan kerajaan. Apa jua cadangan yang diterima oleh Kerajaan, wajar disertai dengan ketelusan. Jelaskan dengan terperinci dan terus terang rancangan mereka kerana rakyat berhak tahu. Rakyat adalah pemegang taruh LTAAS Subang.

“Pihak berkaitan harus teliti dan tidak mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTAAS Subang oleh syarikat swasta. Apalagi bila ia lebih berorientasi pembangunan hartanah kerana rancangan korporat senantiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” katanya.

Mohamad berkata, Lapangan Terbang Senai Johor terlepas daripada pegangan MAHB dalam tahun 2003 dengan janji bahawa Senai akan memberi persaingan yang hebat kepada Changi, Singapura, namun selepas 17 tahun, Senai terus jauh ketinggalan dari Changi daripada semua segi.

Katanya, pihaknya difahamkan satu taklimat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Malaysia Airports telah dibuat.

Rancangan “Subang Airport Regeneration” yang dikemukakan oleh MAHB sangat wajar dipertimbangkan demi kepentingan nasional dan keselamatan negara.

“Kegusaran pihak kesatuan sekerja seharusnya diberikan perhatian kerana ia bukan sahaja membabitkan masa depan mereka, tetapi juga negara. Kerajaan wajar untuk tidak mempertimbangkan cadangan pajakan atau penjualan aset nasional berkenaan kerana ia bukan keutamaan dalam saat negara dilanda pandemik COVID-19 dan kemelesetan nasional yang sangat ketara,” katanya.

Dalam laporan media baru-baru ini, MAHB dikatakan sudah mengemukakan pelan rancangan strategi komprehensif bagi pembangunan jangka masa panjang LTSAAS kepada kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, menjelaskan bahawa rancangan itu akan dilaksanakan berdasarkan kepada penanda aras dan pembabitan pihak berkepentingan dan turut dipantau oleh badan bebas.

Bulan lalu, media melaporkan ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambilalih LTSAAS Subang membabitkan nilai RM3.7 bilion.

Sebuah portal berita melaporkan Lim yang juga pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Bhd akan menggunakan anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambilalih dan mengendalikan lapangan terbang itu hingga 2092. BH

Tak wajar pajak, jual Lapangan Terbang Subang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kami yakin dengan Zahid, Bung jawab Nazri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker