Durian : Rakyat Malaysia menjuarai

Sebaran :

Durian : Rakyat Malaysia menjuarai. Rakyat Malaysia paling banyak makan durian.

Durian merupakan satu daripada buah-buahan tropika tempatan yang menguntungkan negara.

Jumlah eksportnya direkodkan lebih banyak berbanding buah-buahan lain seperti nangka, betik, rambutan dan manggis.

Dianggarkan, sebanyak RM118.2 juta diperoleh pada 2018 hasil daripada eksport raja buah berkenaan ke beberapa negara.

Antara negara yang mengimport durian dari Malaysia ialah China, Australia, Taiwan, Jepun, Vietnam, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

China adalah pengimport utama durian Malaysia walaupun pada awalnya eksport ke negara berkenaan hanya dibenarkan dalam bentuk sejuk beku merangkumi pulpa dan biji.

Pada 2019, barulah China membenarkan Malaysia mengeksport durian dalam bentuk buah penuh.

Susulan itu, eksport durian Malaysia dilaporkan melonjak sebanyak 7,700 tan (termasuk isi dan pes) bernilai AS$67 juta (RM275 juta).

Pada 2018, pasaran durian global didominasi oleh Asia Pasifik melibatkan 96 peratus perkongsian hasil.

Malaysia, Thailand, Indonesia, China, Vietnam, Hong Kong, Singapura dan Taiwan merupakan pasaran utama raja buah berkenaan.

Sementera Thailand dan Malaysia pula merupakan pengeksport utama durian global dan China, Vietnam, Hong Kong serta Singapura ialah pengimport utama raja buah itu.

Berdasarkan data Grand View Research, pasaran global durian dijangka meningkat kepada AS$28.62 bilion (RM117.5 bilion) pada berbanding AS$20 bilion (RM82.1 bilion) pada 2020.

Peningkatan tersebut dipercayai berpunca daripada promosi pelancongan durian di Thailand dan Malaysia, menurut laporan tersebut.

Di samping itu, katanya sikap ingin mencuba rasa durian dalam kalangan penduduk barat dari United Kingdom (UK), AS dan Jerman turut menyumbang kepada peningkatan berkenaan.

Dalam pasaran durian global, hanya dua negara buat masa ini yang mendominasi eksport raja buah berkenaan iaitu Thailand dan Malaysia.

Pada 2016, Thailand dilaporkan mengeksport sebanyak 403,000 tan manakala Malaysia pula 18,000 tan.

Kedua-dua negara dilaporkan menguasai pasaran eksport durian global sebanyak 99 peratus yang mana Thailand memonopoli 95 peratus dan Malaysia (4 peratus).

Komposisi eskport bagi kedua-dua negara berbeza kerana Thailand mengeksport majoriti pengeluaran duriannya manakala Malaysia pula lebih banyak membekalkan buah tersebut untuk pasaran tempatan.

Destinasi utama durian bagi kedua-dua negara ialah China yang dikenal pasti menjadi pengimport utama pasaran durian global sejak 2003.

Kedua-dua negara itu mengeksport durian terbaik masing-masing iaitu Monthong dari Thailand dan Musang King (Malaysia).

Sebagaimana umum sedia maklum, durian merupakan buah ‘wajib’ bagi rakyat Malaysia.

Semua orang tanpa mengira latar belakang kaum dan usia menginginkannya apabila tiba musim buah berkenaan antara Mei hingga Ogos.

Berapa pun harga yang ditawarkan, mereka sanggup membayarnya asalkan kuantiti dan kualitinya berbaloi dengan nilai jualan.

Justeru, tidak hairanlah jika kadar per kapita penggunaannya di Malaysia direkodkan paling tinggi di dunia berbanding negara lain.

Pada 2016, seorang rakyat Malaysia mengambil kira-kira 11 kilogram (kg) durian, menurut Laporan Pasaran Durian Global yang dikeluarkan Plantation International.

Jumlah tersebut 1.8 kali ganda lebih banyak daripada daging lembu yang dimakan, tambah laporan tersebut.

Atas sebab itu, laporan tersebut menjelaskan, pengeluaran durian di Malaysia lebih banyak beredar dalam pasaran tempatan berbanding antarabangsa. Sinar

Durian : Rakyat Malaysia menjuarai


Layari Laman Facebook MYKMU NET


Kemunculan durian Tupai King


Sebaran :

Leave a Reply