Penduduk panas hati akses internet teruk di Kulim

Penduduk panas hati akses internet teruk di Kulim

Penduduk panas hati akses internet teruk di Kulim

KULIM: Beberapa penduduk di Taman Sri Seladang dan Taman Kulim Square di Kedah hilang sabar apabila berdepan masalah rangkaian yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka, terutama ketika pandemik Covid-19.

Penduduk di Taman Sri Seladang, Terence Gasper berkata beberapa aduan telah dibuat dalam tempoh dua bulan lalu, namun tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah itu, sedangkan akses internet adalah terlalu penting ketika ini.

“Terdapat dua menara sel di kedua-dua kawasan. Saya menghubungi Maxis beberapa kali dan apabila akhirnya mendapat balasan, saya diberitahu satu daripadanya tiada masalah sementara satu lagi telah diperbaiki pada April dan tidak ada rancangan untuk penambahbaikan selanjutnya.

“Tetapi tidak ada yang berubah. Kami masih mengalami akses internet yang sangat perlahan,” katanya.

Gasper berkata dia dan jiran-jirannya amat kecewa kerana isyarat di telefon mereka menunjukkan terdapat rangkaian 4G LTE tetapi kelajuan muat turun hanya di bawah 10 megabit sesaat (Mbps) dan kelajuan muat naik di bawah 1 Mbps.

“Untuk mengakses penyemak imbas web atau mengirim tangkap layar skrin yang mudah di WhatsApp pun tak boleh. Rangkaian 4G LTE bagi kelajuan muat turun biasanya sekitar 20 Mbps dan kelajuan muat naik 10 Mbps.

“Kami sememangnya tidak dapat menikmati nilai wang kami,” katanya.

Gasper memutuskan untuk menguruskan masalah itu mewakili jirannya dengan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meminta bantuan.

Dia bersyukur kerana seorang wakil dari SKMM datang ke kawasan itu untuk melihat apa yang sedang berlaku.

“Mereka mengesahkan kami mempunyai masalah jaringan yang teruk dan kelajuannya jauh di bawah standard sepatutnya.

“SKMM telah menghubungi Maxis dan kami berharap ini dapat diselesaikan. Kami mahu Maxis menjelaskan kepada kami apa yang akan mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Penduduk Taman Kulim Square, John Paul pula berkata masalah rangkaian itu berlaku sejak tahun lalu dan tiada sebarang tindakan diambil untuk memperbaiki keadaan walau berkali-kali dihubungi.

Paul, seorang kakitangan industri penerbangan berkata dia perlu bekerja dari rumah sejak wabak Covid-19 dan ia sangat mencabar.

“Setiap kali menghadiri panggilan persidangan, saya perlu memandu keluar dari kawasan kejiranan saya semata-mata untuk mendapatkan akses rangkaian yang lebih baik. Ia sangat memalukan,” katanya.

Paul berkata dia tidak ada pilihan selain menggunakan Maxis kerana ia adalah talian korporat syarikatnya.
Katanya walaupun talian korporat syarikat memberi data tanpa had, ia langsung tidak boleh digunakan di kawasan kejiranannya.

“Saya perlu membeli data tambahan dari penyedia perkhidmatan peribadi supaya dapat digunakan sebagai ‘hotspot’ untuk tujuan kerja.

“Maxis benar-benar perlu menaik taraf menara selularnya untuk memperbaiki masalah rangkaian.

“Kami masih membayar bil telefon setiap bulan. Mereka perlu memberi kami perkhidmatan terbaik yang telah dijanjikan dalam pelan telefon kami. ”

Seorang lagi penduduk Taman Kulim Square, Mohammad Farhan, berkata masalah rangkaian itu menjejaskan kerja sekolah empat anaknya.

Katanya, sejak pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), kadangkala guru memerlukan pelajar menghantar gambar dan video, tetapi ini sukar dilakukan apabila internet terlalu perlahan.

“Berdasarkan peta rangkaian Maxis, kawasan kami menyokong liputan 4G-LTE, tetapi kelajuan internet kami tidak mencecah tahap 3G, apatah lagi 4G-LTE,” katanya.

Farhan berkata, menghubungi Maxis juga sukar kerana terpaksa menunggu sehingga setengah jam, sehingga akhirnya panggilan itu diputuskan.

“Ini sangat mengecewakan. Maxis perlu benar-benar spesifik dengan kerja menaik taraf rangkaian mereka kerana liputannya di sini sangat teruk,” katanya.

Ketika dihubungi oleh FMT, Maxis mengakui menerima aduan melalui talian ‘hotline’ perkhidmatan pelanggan mereka di Taman Kulim Square dan Taman Sri Seladang.

“Yakinlah bahawa kami telah melakukan inisiatif lanjut untuk meningkatkan kualiti rangkaian di Taman Kulim Square, termasuk ‘network-tuning’ segera pada Mei dan penataan semula antena radio pada minggu pertama Jun.

“Menerusi inisiatif ini, kami mendapati peningkatan liputan dan kelajuan purata muat turun,” katanya.

Syarikat itu berkata pihaknya sedang berhubung dengan pelanggan terbabit untuk mendapatkan lebih banyak maklum balas mengenai penambahbaikan yang telah diselesaikan.

“Kami komited untuk mengatasi segala masalah yang dialami pelanggan untuk memastikan mereka sentiasa menikmati pengalaman rangkaian yang optimum,” katanya. FMT


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Calon SPM luar bandar tertekan PdPR dalam keadaan capaian internet lemah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker