#PenangTolakTambak sebelum kerajaan negeri ditolak


Oleh Rosli Khan

Masa adalah kayu pengukur yang amat baik.

Tahun 2016, adalah kali pertama saya “terserempak” dengan artikel yang ditulis oleh Roger Teoh, berjudul “Penang Transport Master Plan” atau PTMP. Artikel beliau jelas dan masuk akal.

Kemudianya, saya mendapat tahu Roger juga ahli DAP. Tetapi pandangan beliau terhadap PTMP tidak diterima oleh ramai pemimpin DAP Pulau Pinang. Malah, Roger dikritik dengan keras.

Tidak lama selepas itu, Roger yang masih menuntut di Imperial College London, membuat keputusan untuk keluar DAP. Tetapi beliau masih terus memberi pandangan dan analisis beliau terhadap projek PTMP.

Dalam satu artikel (Malaysiakini, 21 April 2019) beliau terus terang meramalkan projek yang teramat mahal ini dengan belanja sehingga RM46 billion akan menjadi projek ‘gajah putih’.

Roger tidak berkeseorangan dalam mengkritik PTMP.

Ramai lagi cerdik pandai dari Pulau Mutiara itu, antaranya, Dr Lim Mah Hui, Dr Ahmad Hilmi dan Salma Khoo Nasution yang mengikuti perancangan PTMP dan memberi pendapat bernas mereka. Tetapi, malangnya, telinga kerajaan negeri menjadi pekak kepada pandangan mereka.

Terowong dasar laut?

Kritikan mereka terhadap PTMP mempunyai asas kukuh terutama dari segi ekonomi dan pulangan kewangan yang tidak setimpal. Ini dapat dibaca dengan jelas di pautan berikut.

Perancangan untuk PTMP telah dibuat oleh pihak Halcrow pada Januari 2009. Kerajaan negeri Pulau Pinang menerima dengan rasmi Laporan kajian berserta dengan cadangan akhir PTMP pada Mei 2013.

Namun begitu, lapan tahun kemudian, iaitu 2021, kita masih lagi bercakap tentang PTMP yang tidak siap-siap.

Apa tujuan sebenar PTMP? Atau, apakah benar PTMP sudah tiada lagi?

Yang ada, cuma beberapa projek yang ditambah ke dalam rancangan asal Halcrow. Ini termasuklah:

Jalan raya 10km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang
Jalan baharu Air Itam ke Lebuh Lim Chong Eu
Jejambat Persiaran Gurney ke Lebuhraya Lim Chong Eu

Satu terowong bawah laut untuk jalan raya di antara Persiaran Gurney ke Bagan Ajam yang tidak pasti bila akan siap
Mengikut laporan akhir kajian, terowong berkenaan tidak diperlukan sehingga 2030. Jadi, kenapa kerajaan negeri mahu membinanya sekarang?

Semua empat projek ini menelan belanja sebanyak RM4.6 billion, tetapi tidak merangkumi kos sistem pengangkutan awam seperti mana yang dijanjikan dalam dokumen PTMP.

Kesilapan kerajaan negeri

Sebahagian lagi projek yang dipanggil Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation (PSR) yang dikatakan menjadi tonggak kepada PTMP. PSR kononnya akan menjana dana untuk membiayai PTMP termasuk sistem pengangkutan awam yang canggih kelak.

Mungkin di sinilah silapnya perancangan kerajaan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri memberi kebenaran kepada sektor swasta untuk menambak laut untuk dijadikan pulau. Tanahnya akan dijual kepada pelabur, terutama pelabur asing. Hasil keuntungan (jika ada) dari jualan itu barulah akan digunakan untuk membiayai pembinaan sistem pengangkutan awam baharu.

Cadangan PSR ini punca kenapa selepas lebih lapan tahun PTMP digunapakai cadangan sistem pengangkutan awam canggih masih belum terlaksana.

Nyata sekali perancangan kerajaan negeri tidak pandai, amat pelik, dan langsung tidak cekap dalam menangani masalah pengangkutan awam di Pulau Pinang. Objektif asal PTMP langsung tidak tercapai.

Projek mega PSR tidak akan tercapai matlamatnya kerana penambakan tanah dan penjualannya kelak akan mengambil masa yang lama untuk membawa pulangan yang disasarkan.

Kejayaan PTMP bergantung kepada syarikat swasta yang perlu mengaut keuntungan cukup besar daripada jualan tanah yang diwujudkan menerusi PSR. Ini tentunya akan melibatkan banyak perkara di luar jangkaan, kos reklamasi, dan turun-naik harga tanah di pasaran.

Kesimpulan

Mana mungkin sebuah sistem pengangkutan awam baharu boleh dibangun dan dibiayai dengan cara sedemikian. Tiada logiknya dan pasti tidak akan berjaya.

Sememangnya, ada kebenaran dalam kesimpulan salah satu artikel Roger Teoh, iaitu, rancangan PTMP ini terlalu banyak percanggahannya. Tidak mungkin segala sistem pengangkutan awam yang dirancang akan terjadi dan terbina akhirnya, jika ia bersandarkan kepada PSR.

Lapan tahun adalah suatu jangka waktu yang panjang untuk melihat PTMP menjadi realiti. Namun projek ini menjadi dilihat tidak mempunyai perancangan betul dan telus dari awalnya.

Ukuran masa ini juga banyak memberi gambaran yang jelas dan nyata terhadap prestasi kerajaan Pulau Pinang itu sendiri.

DAP memerintah Pulau Pinang sejak 2008. Tidak lama lagi pilihan raya akan diadakan. Apakah rakyat tidak jemu menunggu untuk PTMP menjadi kenyataan?

Rasanya amat memilukan sekali apabila rakyat membuat kenyataan mengkritik janji-janji kosong mengenai kebaikan PTMP yang persisnya sudah banyak terpesong.

Setelah begitu lama menunggu, saya pasti ramai yang tidak percaya lagi kepada janji-janji kerajaan negeri ini.

Sebetulnya, projek PSR ini wajib dibatalkan saja. FMT

Keras kepala tambak laut, penduduk akan tunjuk DAP pintu keluar dari P Pinang, kata pemimpin PKR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker