Tujuh beradik yatim piatu tak mahu berpisah

Tujuh beradik yatim piatu tak mahu berpisah

Tujuh beradik yatim piatu tak mahu berpisah

Teluk Intan: “Tanggungjawab saya semakin besar tetapi kami tidak akan berpisah dan saya mahu jaga enam adik dengan baik seperti permintaan ibu,” kata Nurallesyah Balqis Mohd Azman, 17.

Nurallesyah Balqis Mohd Azman, 17, adalah anak sulung daripada tujuh beradik yang kini bergelar yatim piatu dan menumpang kasih dengan ibu dan bapa saudara di Kampung Bahagia, di sini.

Bapa mereka, Mohd Azman Tabri, 42, meninggal dunia pada Ogos 2019 kerana jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan bisul.

Ibu mereka, Noor Suidah Omar, 43, pula meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI) pada 2 Jun lalu akibat komplikasi selepas pembedahan bisul.

Selain Nurallesyah Balqis, enam lagi adiknya, Nur Alleyana Darwina, 14; Nurallesyazwani Sofea, 12; Nurallyqalesyah Damia, 10; Nurallyfarisyah Najwa, 8; Nurallyshafirah Umairah, 6, dan Muhammad Harraz Erfan, 4, reda kehilangan dua insan tersayang dalam usia yang masih muda.

Nurallesyah Balqis berkata, selepas bapa mereka meninggal dunia, dia bersama ibu dan enam adik tinggal di rumah neneknya di kampung berkenaan dengan ibunya menjual pelbagai kuih sejuk beku di sekitar Teluk Intan sebagai punca pendapatan.

Menurutnya, selepas kematian ibu, mereka dijaga ibu saudaranya, Faridah Omar, 34, yang tinggal bersama di rumah itu dengan suami dan tiga anak ibu saudaranya itu.

“Kami kehilangan dua insan tersayang tetapi saya perlu kuatkan semangat kerana masih ada adik-adik yang sangat memerlukan saya, selain akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Katanya, selepas pembedahan bisul pada 16 Mei lalu, ibunya mengalami tekanan darah tinggi dan memang menghidap penyakit itu selain kencing manis dan turut mempunyai masalah buah pinggang, hati serta darah beku di kepala.

“Ibu selalu berpesan supaya saya menjaga adik dengan baik dan tidak mahu kami berpisah jika sesuatu berlaku kepadanya, malah dia juga tidak pernah membenarkan adik dijadikan anak angkat ketika hayatnya, sebab itu biarpun susah macam mana sekali pun saya akan ingat pesan ibu.

“Saya bersyukur masih ada ibu dan bapa saudara untuk kami menumpang kasih, malah mereka juga banyak membantu kami sejak ibu masih ada lagi dan sokongan mereka juga menjadikan saya lebih tabah,” katanya yang memberitahu neneknya juga sudah meninggal dunia tahun lalu.

Menurut Nurallesyah Balqis, mereka menerima bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal dan

pencen ilat sebanyak RM1,180 dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang digunakan untuk keperluan mereka tujuh beradik.

“Perbelanjaan selebihnya dibantu ibu dan bapa saudara. Keluarga sebelah arwah ayah juga mengambil berat tentang kami,” katanya yang mahu berkerja sementara selepas SPM nanti.

Sementara itu, ibu saudaranya, Natrah Omar, 38, iaitu adik keempat arwah Noor Suidah berkata, sejak kisah tujuh beradik itu dimuat naik di media sosial, ramai individu yang berhasrat menjadikan mereka anak angkat tetapi dia dan adik-beradik yang lain tidak akan membenarkannya.

“Hubungan kami adik-beradik sangat rapat dan arwah Yong (Noor Suidah) memang selalu pesan pada kami supaya jaga semua anaknya. Kami memang tidak akan memisahkan mereka dan menjaga amanah Yong termasuk memberikan pendidikan terbaik kepada mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada tujuh beradik yatim piatu berkenaan boleh menghubungi Natrah di talian 016-2862960.

Tujuh beradik yatim piatu tak mahu berpisah


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Covid-19: Anak yatim terbiar lepas Tok Ayah pergi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker