Selebriti jual tudung bantu rakyat Palestin
Selebriti jual tudung bantu rakyat Palestin
Penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin yang berterusan dizalimi rejim Zionis menimbulkan keinsafan, lantas menghidupkan semangat bagi masyarakat global menunjukkan tanda solidariti dengan menghulurkan bantuan.
Tidak terkecuali, barisan selebriti tanah air. Pelbagai tanda solidariti dilakukan bagi menyampaikan mesej rakyat Palestin tidak keseorangan dalam perjuangan.
Selebriti bertudung, Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Elfira Loy antara bekerjasama dengan jenama tudung tempatan bagi misi membantu rakyat Palestin.
Lebih istimewa, tudung dihasilkan bermotifkan warna bendera Palestin yang terdiri daripada warna hitam, merah, putih dan hijau. Usaha itu dilihat kecil, namun tetap memberi makna kepada insan tidak berdosa yang bergelut di bumi Palestin.
Erra Fazira berkata, dia tidak ketinggalan memberi sokongan terhadap usaha jenama tudung, Cloverush yang menyalurkan bantuan menerusi Pertubuhan Persatuan Cinta Gaza dan My Fund Action.
Erra Fazira
“Membeli sambil menderma adalah usaha murni. Ini antara kempen dan bantuan kecil daripada saya untuk membantu mangsa peperangan dan kekejaman Israel.
“Ada selebriti lantang berkongsi dan berhujah memberikan pandangan menentang keganasan di Palestin. Ada juga yang mendoakan dari jauh dan menghulurkan sumbangan peribadi.
“Soal dan niat sesiapapun, waima artis jangan dipersoalkan. Masing-masing ada cara membantu saudara Islam di sana. Saya cuba sedaya mungkin memikul peranan dan kesedaran untuk menzahirkan rasa simpati serta empati. Ini termasuk menerusi penjualan tudung dan pelitup muka.
“Apa sahaja yang menggalakkan ke arah kebaikan, saya tidak terkecuali menyokongnya,” katanya kepada BH Online.
Bagi Rozita atau Che Ta pula, berharap usaha kecilnya bersama jenama tudung, Ashhannas akan diberkati.
Pandemik COVID-19
“Ketika diuji dengan ujian pandemik COVID-19, rakyat Palestin pula lebih parah dengan pertempuran berdarah yang mengorbankan banyak nyawa.
“Kita masih boleh memanjat kesyukuran atas nikmat keamanan dan masih mampu menghulurkan rezeki. Tidak salah buat golongan selebriti membantu mangsa kekejaman,” katanya.
Che Ta berkata, setiap golongan berpengaruh termasuk selebriti sentiasa ada peranan untuk apa sahaja yang boleh memberi manfaat dan bersifat kemanusiaan.
“Ada yang agresif dalam media sosial melaungkan semangat dan menyuntik kesedaran mengenai isu Palestin-Israel. Saya tabik dan pandang hebat atas usaha mereka.
“Seperti Noh Salleh, Mizz Nina, Heliza Helmi, Ahmad Fedtri Yahya, Iesya Toh dan ramai lagi antara yang sentiasa berkongsi, menyebarkan maklumat dan perkembangan di bumi Gaza.
“Begitu juga dengan angkatan tentera netizen yang begitu lantang membidas dan menentang keganasan Israel hingga mereka koyak. Harapnya, apa sahaja usaha kecil atau besar dilakukan akan memberi manfaat buat mereka yang tertindas,” katanya.
Elfira berkata, dia berkongsi keuntungan 100 peratus jualan tudung kerjasama dengan jenama Ameera Zaini ke tabung bantuan Gaza.
Katanya, dia tidak akan mengambil sesen bayaran hasil kerjasama dimeterai.
“Apabila melihat rekaan tudung melambangkan ketenangan, saya teringin mahu menjejak kaki ke Palestin.
“Saya tidak akan ambil satu sen untuk kolaborasi ini kerana semuanya akan disumbangkan kepada penduduk di Gaza,” katanya. BH
Selebriti jual tudung bantu rakyat Palestin
Baca Artikel Menarik
- Rindu Awak Separuh Nyawa ungguli carta drama 2021, kejutan di minggu akhir
- Ahli politik dakwa diugut penyebaran video, gambar peribadi
- Rihana Oksana Semakin Daring ‘Tayang Body’. Selain DiKecam Ada Juga Netizen Pertahankannya…
- Muhyidin pun sama macam Najib – Mahathir
- Mahathir hantar surat kepada Agong, minta campur tangan keluhan rakyat
- Resepi Kek Lapis Masam Manis Sarawak