Persediaan PdPR: Apa solusinya?
Persediaan PdPR: Apa solusinya?
PENUTUPAN sekolah tahun lepas telah mendesak pihak pentadbiran sekolah untuk menjalankan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Walaupun warga pendidik telah mempunyai pengalaman dalam melaksanakan PdPR, cabaran yang dihadapi perlu diteliti dan persediaan yang secukupnya perlu dilakukan.
Antara cabaran utama yang dihadapi adalah wujudnya perbezaan ketara dalam kalangan pelajar dari segi latar belakang pendidikan, pendapatan isi rumah serta kedudukan kediaman. Ini semua merupakan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menghasilkan penyelesaian yang bermanfaat buat ramai pihak.
Akses Internet dan peranti yang membolehkan pelajar menjalani PdPR adalah keperluan mendesak demi memastikan tiada yang tercicir daripada sistem pendidikan kita. Menurut laporan kajian ‘Covid-19 and Unequal Learning’ yang dilakukan oleh Khazanah Research Institute (KRI), sebanyak 37 peratus kanak-kanak yang tidak mempunyai komputer riba atau tablet yang sesuai untuk digunakan semasa PdPR.
Lebih parah apabila hanya 6-9 peratus yang memiliki komputer riba sendiri. Kekurangan peranti yang mencukupi serta Internet yang tidak stabil akan mengganggu proses PdPR untuk berjalan dengan lancar. Jika guru yang menghadapi masalah tersebut, penyampaian guru kepada murid akan terjejas, dan kalau ia berlaku kepada murid-murid, proses penerimaan murid-murid pula yang akan terjejas.
Cabaran kedua
Cabaran kedua adalah kelemahan pengetahuan dan kemahiran digital dalam kalangan guru-guru. PdPR bukanlah hal yang mudah terutama buat guru-guru yang tidak mahir menggunakan teknologi. Contoh, menggunakan Google Meet dan menyimpan bahan pembelajaran di Google Drive mungkin mudah buat mereka yang mahir menggunakan aplikasi teknologi tetapi sebaliknya buat mereka yang tidak mahir.
Latihan dan kursus berterusan harus dilaksanakan agar para guru sentiasa bersiap siaga menghadapi PdPR sekiranya perlu termasuk kepada ibu bapa dan anak-anak. Cabaran ketiga pula adalah pada pelajar atau anak-anak. Mereka mempunyai cabaran mereka sendiri. Untuk fokus dalam kelas atas talian serta melihat dan mendengar melalui layar komputer sepanjang sesi pembelajaran berlangsung merupakan cabaran yang besar buat anak-anak terutama mereka yang Darjah 1, 2 dan 3.
Selain itu, kebanyakan kelas tidak membenarkan murid-murid untuk berbual sesama rakan sekelas sedangkan berbual antara satu sama lain dapat membantu perkembangan murid-murid seperti mengasah skil bersosial, komunikasi serta berfikir. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ramai pihak ini memerlukan solusi yang sewajarnya agar proses PdPR dapat berjalan dengan lancar. Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), satu kajian berkaitan pandangan ibu bapa tentang PdPR telah dijalankan.
Hasil daripada kajian tersebut, sebanyak 16,554 responden meminta agar pihak Kementerian dapat perhalusi masalah PdPR yang berlaku sebelum ini. Antara keluhan ibu bapa adalah, jadual belajar yang padat serta lambakan kerja sekolah. Ibu bapa yang tidak mempunyai latar pendidikan yang tinggi juga merasa terbeban untuk membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja rumah atau projek yang diberikan.
Kaedah PdPR yang bersesuaian
KPM juga diminta agar memberikan kebebasan kepada pihak sekolah untuk menentukan kaedah PdPR yang bersesuaian dengan situasi semasa sekolah. Di samping itu, pihak KPM juga disarankan untuk memberikan peruntukan atau bantuan khas kepada pihak sekolah seperti bantuan data Internet buat guru-guru sepanjang tempoh PdPR berjalan.
Antara solusi yang telah dilakukan oleh sekolah di bawah IKRAM MUSLEH adalah mengehadkan jumlah subjek yang dipelajari dalam sehari. Maksimum hanya dua subjek sehari, dengan masa selama sejam untuk setiap kelas. Hal ini dapat mengurangkan masalah pertindihan masa belajar buat murid yang mempunyai ramai adik-beradik. Selain itu, sekolah membuat jadual subjek secara bergilir. Contoh, jadual minggu pertama dan ketiga, murid-murid hanya perlu mempelajari subjek teras manakala untuk jadual minggu kedua dan keempat, murid-murid akan mempelajari subjek elektif serta aktiviti- aktiviti kokurikulum.
Kesimpulannya, cabaran PdPR ini harus ditangani bersama. Semua pihak perlu bertoleransi antara satu sama lain, antara guru, ibu bapa, murid serta pihak KPM. PdPR merupakan perkara yang asing sehingga kini, maka penyesuaian diri mungkin mengambil masa yang agak lama. Justeru itu, kita perlu bersama-sama berusaha untuk bersedia menghadapi PdPR dalam suasana tidak menentu ini agar anak-anak pada masa kini mendapat pendidikan terbaik yang akan menjadi bekalan buat mereka pada masa akan datang.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Persediaan PdPR: Apa solusinya?
Baca Artikel Menarik
- Resepi Sambal Paru Padu Tahan Berbulan [VIDEO]
- “Jangan Jadi Kambing Hitam Sis..” Instagram Pengurus Media Sosial Ibu Neelofa Dihujani Komen Netizen
- Suhaimi Saad Tempelak Catriona Ross Isu Balik Kampung Ketika PKP. ” Simpan La Kau Punya B*d*h Tu..Jangan Tunjuk Sangat”
- Pertengkaran panas antara menteri tercetus selepas MITI benar 95,000 syarikat beroperasi
- Sajat berada di resort Pranburi, Thailand…
- Ahli Politik Di India Terbitkan Al-Quran Versi Sendiri, Minta Diajarkan Di Seluruh Sekolah Islam
Layari Laman Facebook MYKMU NET
Laksana semula PdPR tapi mana 150,000 komputer riba? – Zahida
You must be logged in to post a comment.