Sindiket guna surat rentas negeri palsu tumpas, 6 diberkas bawa dadah RM7.2 juta


MELAKA: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan surat kebenaran rentas negeri palsu untuk melepasi sekatan jalan raya, dengan penahanan enam individu dan rampasan kira-kira 142.22kg dadah bernilai RM7.2 juta, dua hari lepas.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali, berkata lima suspek lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 25 hingga 52 tahun ditahan selepas polis memeriksa dua kereta di tepi pantai Klebang kira-kira 12.15 tengah malam.

Beliau berkata, dadah dipercayai syabu seberat 83.08kg dan ekstasi seberat 59.14kg itu ditemui dalam salah sebuah kereta dinaiki suspek, selepas polis membuat serbuan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif dalam pengedaran dadah rentas negara sejak tiga bulan lepas dan menggunakan Melaka sebagai negeri transit sebelum dadah itu diseludup keluar menerusi laluan air.



“Siasatan lanjut masih dilakukan termasuk mengesan dari mana bekalan dadah berkenaan diperoleh dan ke negara mana ia dibawa,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata modus operandi sindiket itu ialah menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang disyaki palsu, kerana borang berkenaan tidak mempunyai nombor siri, tiada dalam rekod polis serta menggunakan cop balai polis palsu, selain disertakan dengan surat pengesahan majikan yang juga dipalsukan.

Beliau berkata, semua suspek adalah penganggur yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine, dan setiap mereka mempunyai tidak kurang lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta dua rekod melibatkan kes jenayah.

Katanya, mereka direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. FMT



Padah beri surat rentas negeri palsu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker