Waktu PRU boleh bantu, kenapa tidak untuk program vaksin?


MALAYSIA menyasarkan untuk mencapai imuniti berkelompok menjelang penghujung tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang rancak berlangsung.

Mungkin ramai melihat program berkenaan agak perlahan kerana kekurangan bekalan tetapi berdasarkan jangkaan PICK akan lebih pantas bermula bulan ini.

Namun begitu, bukan itu sahaja masalah yang dihadapi melibatkan program pemberian vaksin tetapi ada isu lebih membimbangkan berlaku.

Kebelakangan ini kita boleh membaca laporan berita bahawa ramai yang tidak hadir janji temu bagi memperoleh imunisasi masing-masing.

Hampir setiap negeri merekodkan masalah ini dan jumlahnya bukan sedikit bahkan mencecah ribuan.

Kira-kira 10,000 individu gagal hadir janji temu di Pahang dan Kelantan; 10,827 di Kedah; lebih 9,000 di Perak serta 14,144 di Johor.

Beberapa negeri lain yang turut mencatatkan masalah serupa.

Jumlah yang tidak hadir menerima vaksin dalam fasa kedua PICK ini adalah membabitkan warga emas yang sudah pun mendaftar untuk memperoleh imunisasi.

Di sinilah pentingnya penyaluran maklumat terus kepada warga emas perlu diperkasa menerusi pelbagai agensi di bawah kerajaan.

Jangan dibiarkan warga emas terutama yang tidak mempunyai akses terkontang-kanting tanpa maklumat sah hingga percaya kepada berita palsu.

Tidak dinafikan mungkin ada sebilangan kecil yang telah ‘didoktrinkan’ dengan berita palsu ‘Mak Teh’, namun sebenarnya masih ramai yang mengakui kepentingan vaksin.

Keterbatasan akses termasuk tidak mengetahui tarikh temu janji dan tiada kenderaan membuatkan golongan warga emas gagal hadir memenuhi janji temu suntikan vaksin.

Justeru, apa yang boleh dilakukan bagi membantu golongan ini? Salah satunya, gunakan jentera cawangan dan bahagian di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Inilah masanya setiap parti menolak ketepi dahulu sengketa politik dan mementingkan rakyat kerana kita sedang berhadapan ‘perang’ lebih besar.

Kalau semasa pilihan raya umum (PRU), setiap parti politik boleh menggerakkan jentera masing-masing bagi berkempen dan membantu setiap pengundi turun mengundi, apa salahnya salurkan pula untuk membantu program vaksin.

Jika sewaktu PRU boleh saja berduyun-duyun kenderaan digunakan untuk mengambil dan menghantar pulang pengundi, tak mustahil ia boleh dilakukan bagi memastikan lebih ramai menerima vaksin.

Paling penting, prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi.

Kita sedang berhadapan dengan situasi mencabar apatah lagi lebih 75,000 kes aktif COVID-19 seluruh negara manakala kes harian pula sudah melepasi angka 9,000.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pun dah kata pandemik ini tidak akan berakhir sehingga 70 peratus penduduk divaksinasi.

Hanya vaksin jalan penyelesaian terbaik mengekang COVID-19. Semua tidak mahu berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk masa yang lama.

Lakukanlah tanggungjawab masing-masing. Lindung diri, lindung semua. Utv

Selepas Kelantan, hampir 11,000 di Kedah pula tak hadir ambil vaksin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker