Kontena jenazah ditempatkan di 3 lagi hospital


Kontena bagi menyimpan mayat individu yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 kini ditempatkan di tiga lagi hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengumumkan perkata itu, beliau berkata pendekatan sedemikian terpaksa digunakan, susulan peningkatan angka korban akibat wabak itu di seluruh negara.

Tiga lagi hospital yang turut mempunyai kontena jenazah, dengan setiap satunya mampu menampung 20 mayat ialah Hospital Serdang (Selangor), Hospital Sultanah Aminah (Johor Bharu) dan Hospital Queen Elizabeth I (Sabah).

“Bilik simpanan mayat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung jumlah jenazah atau mayat susulan peningkatan kematian akibat COVID-19.

“Sehubungan itu, pihak perkhidmatan perubatan forensik menyediakan kontena khas khusus, sama ada untuk jenazah (Islam) atau mayat (bukan Islam).

“Satu ‘fleximort’ khusus untuk jenazah COVID-19 juga ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang, Selangor), dengan kapasiti maksimum 12 jenazah,” katanya dalam kenyataan di Twitter, hari ini.

Kontena bersuhu rendah bagi menempatkan individu yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 pada awalnya digunakan di Hospital Sungai Buloh, Selangor sebelum disusuli Hospital Selayang.

Angka kematian ekoran penularan jangkitan COVID-19 sejak kebelakangan ini dilihat terus meruncing, dengan rekod tertinggi dicatatkan hari ini iaitu 98 kes.

Statistik dalam kenyataan KKM turut mengundang kebimbangan pelbagai pihak apabila kes ‘brought in dead’ (BID) atau meninggal ketika ketibaaan terus bertambah.

Dr Noor Hisham berkata 98 kes kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan angka korban berikutan COVID-19 melonjak kepada 2,650 kes.

Risau dengan perkembangan sedemikian, beliau berkata kadar kematian dicatatkan setakat ini meningkat lebih tiga kali ganda, berbanding jumlah angka korban yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Sebanyak 471 kematian berlaku pada 2020, manakala 2,179 kematian setakat ini. Dalam tempoh 1 hingga 29 Mei lalu sahaja, sebanyak 1,144 kematian dilaporkan, iaitu jumlah kes kematian bulanan yang tertinggi setakat ini.

“Apabila kes aktif COVID-19 melebihi kemampuan kami untuk merawat, maka doktor terpaksa membuat pilihan sukar.

“Mereka perlu utamakan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit berpotensi sembuh yang tinggi berbanding, pesakit yang potensi sembuh rendah. Terkini, inilah hakikat sebenar.

“Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum. Bantulah kami agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh sama sekali,” katanya.

Beliau berkata semua pihak daripada peringkat tertinggi hinggalah ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.

“Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata dalam mengimbangi nyawa serta kehidupan, adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa namun bagi KKM dan petugas kesihatan di seluruh negara, keutamaan mereka adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.

“Marilah kita kekal duduk di rumah dan jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi.

“Kita jaga kita. Pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan. #LockdownKendiri #BantuSistemKesihatanNegara,” katanya. BH

Hospital Selayang terpaksa sedia kontena khas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker