Pengecualian cukai jualan kereta wajar dilanjutkan

Pengecualian cukai jualan kereta wajar dilanjutkan
Pengecualian cukai jualan kereta penumpang wajar dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya akhir tahun ini bagi membolehkan industri automotif mengekalkan pertumbuhan.

Ia susulan peningatan mendadak kes COVID-19 yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata cukai jualan kereta penumpang wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

“Industri belum pulih sepenuhnya dan pemulihan yang berlaku ketika ini masih rapuh memandangkan ekonomi belum sembuh sepenuhnya daripada impak COVID-19.

“Malah, kebimbangan kepada gelombang keempat jangkitan pandemik pada peringkat global dan di Malaysia juga boleh memberi kesan kepada keutuhan pemulihan industri automotif,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata kerajaan diyakini akan membuat pertimbangan sewajarnya bagi melanjut atau menamatkan insentif itu dengan mengambil kira impak kepada negara secara keseluruhan.

PROTON menyokong sepenuhnya

“PROTON menyokong sepenuhnya semua langkah dan keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk menangani COVID-19.

“Kami bersyukur kerana ada insentif pengecualian cukai yang membantu industri, namun kami juga sedar ia tidak boleh berlanjutan selama-lamanya.

“Insentif pengecualian cukai jualan membantu industri mengekalkan dan menambahkan kadar jualan kenderaan. Secara langsung, ia juga membantu mengekalkan pekerjaan bagi syarikat dalam industri ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, berkata pengecualian cukai jualan yang bakal berakhir bulan depan dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan ekosistem keseluruhan, bukan sekadar meningkatkan jumlah keseluruhan industri (TIV).

“Walaupun secara kasarnya kerajaan akan mengalami kerugian kerana tidak dapat memungut pendapatan daripada duti eksais penjualan kenderaan baharu, negara secara keseluruhan akan menerima keuntungan dari segi lain.

“Contohnya, penambahan kenderaan baharu akan meningkatkan lagi pendapatan dalam industri pembuatan komponen kenderaan, industri kewangan, insurans, bahan api, barangan berkaitan automotif dan sektor pelancongan,” katanya.

Pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Pada 29 Disember lalu, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang merangkumi 100 peratus bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus model unit import (CBU) untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

Berikutan insentif yang diumumkan kerajaan itu, harga kereta penumpang termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) mencatat penurunan antara dua hingga sembilan peratus.

Insentif itu menjadi antara pemacu utama

Insentif itu menjadi antara pemacu utama lonjakan jualan kenderaan penumpang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Jualan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, menyaksikan kenderaan penumpang yang menerima insentif pengecualian cukai 100 peratus kenderaan CKD dan 50 peratus bagi CBU mencecah 123,281 unit.

Sektor perbankan turut meraih manfaat apabila pinjaman meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun pada Mac dengan jumlah kelulusan untuk pinjaman kenderaan meningkat sebanyak 22.7 peratus kepada RM12.7 bilion.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan mendedahkan, kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai mencecah RM1.784 bilion susulan insentif pengecualian cukai jualan kereta penumpang bagi tempoh 15 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021. BH

Pengecualian cukai jualan kereta wajar dilanjutkan

 


Baca Artikel Menari

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Pengecualian cukai jualan (SST) kereta dilanjut hingga Jun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker