Pelajar UMK hasil minuman cendol dalam tin


BACHOK: Keterbatasan keadaan untuk menikmati cendol seperti biasa di gerai atau kedai ketika pandemik COVID-19, mencetuskan idea pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menghasilkan minuman itu dalam tin.

Inovasi menarik diilhamkan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin itu membolehkan minuman kegemaran ramai berkenaan sedia untuk dinikmati di mana saja.

Sejak diperkenalkan tahun lalu, katanya, 1,000 tin cendol dinamakan ‘VCendol’ itu sudah terjual dengan mendapat sambutan amat memberangsangkan pada Ramadan.

Pada awalnya, beliau berkata, kaedah penyediaan dalam tin itu agak rumit berikutan cendol lazimnya tidak boleh disimpan lama kerana mengandungi santan kelapa.

Bagaimanapun, katanya, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan UMK berjaya menemui formula baharu untuk menghasilkan cendol segar yang tahan lebih lama tanpa menjejaskan rasa asli dan sedia diminum dalam tin.

Beliau berkata, mereka menggunakan santan sawit bagi menggantikan santan kelapa, sekali gus menghasilkan rasa cendol berkualiti tinggi, kaya dengan vitamin, kurang kolesterol dan lemak serta tahan lama.

“Gabungan santan sawit dengan bahan asas cendol seperti gula melaka, kacang merah bersama parutan ais menghasilkan rasa sama seperti menikmati cendol di gerai,” katanya.

Tuan Muhammad Muiz berkata, beliau juga meningkatkan kualiti pembungkusan VCendol dan menampilkan tiga perisa, iaitu pandan, mangga serta strawberi yang dijual pada harga RM6.50 setin.

Beliau berkata, VCendol kini dipasarkan oleh syarikatnya, Versatile Food and Beverage, melalui pasaran ejen, pasar raya dan secara dalam talian.

Lebih membanggakan, hasil inovasi bersama Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) itu turut berjaya memenangi beberapa anugerah.

Antaranya, Pingat Emas pada pertandingan 11th Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREx) 2021 anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP); Pingat Emas pada eCarnival Research and Innovation (eCRI) 2020 anjuran UMK serta Pingat Perak pada Pertandingan Reka Cipta (PEREKA) 2020 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS). BH

Mak Long Mart platform bantu usahawan kecil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker