Letupan kereta: Bukan Sebab Rokok, Petir Atau Dron – Polis Kelantan
Polis Kelantan menafikan insiden kereta bermuatan mercun meletup dan terbakar hingga mengorbankan nyawa seorang lelaki di Lembah Sireh, di sini pada Jumaat lalu berpunca daripada puntung rokok, petir atau dron.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata polis masih menunggu laporan penuh dari Unit Forensik Polis Diraja Malaysia dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengetahui punca sebenar yang mencetuskan letupan.
“Setakat yang boleh dikatakan letupan bukan berpunca daripada puntung rokok, petir mahupun penggunaan dron di kawasan tersebut seperti yang tular,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian bukan sahaja menemui sisa serpihan mercun bola tetapi juga beberapa sampel mercun jenis papan dan bunga api stadium.
“Ada juga keterangan saksi yang menaiki kereta di belakang melihat asap keluar dari bonet belakang kereta tersebut sebelum meletup.
“Kami percaya muatan mercun yang dibawa dalam kuantiti yang terlalu banyak atau mungkin padat hingga berkemungkinan jadi punca meletup, namun kita perlu tunggu hasil laporan penuh Unit Forensik sedikit masa lagi,” katanya.
Kejadian yang berlaku pada 5.30 petang Jumaat lalu itu turut menyebabkan kerosakan dan memecahkan tingkap rumah penduduk serta masjid selain beberapa lagi kereta turut terbakar.-SH
You must be logged in to post a comment.