Reaksi Berbeza Peminat SEARCH Di Media Sosial
Tindakan bekas penyanyi kumpulan Search, Amy; pemain bass, Nasir dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions jika tidak menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran mengundang reaksi berbeza kebanyakan peminat Search di media sosial.
Rata-ratanya dilihat memihak kepada dua lagi anggota Search iaitu pemain gitar, Noordin dan Kid yang didakwa menjadi ‘mangsa’ konflik itu.
Malah, mereka turut mengkritik Amy yang dikatakan tidak mementingkan ikatan persahabatan sebaliknya lebih kepada soal material terutama membabitkan penggunaan nama Search untuk tujuan komersial.
Ada di antara mereka turut meminta Amy dan Nasir menggunakan ‘budi bicara’ serta memberi ruang kepada Noordin dan Kid menggunakan nama Search dalam menjana pendapatan mereka.
Malah, segelintir peminat Search turut mempertikaikan tindakan Amy melarang penggunaan nama Search sedangkan dia turut menggunakan jenama Amy Search selain sudah meninggalkan kumpulan itu, Mac tahun lalu.
Dalam masa sama, Amy turut membuat penjelasan di ruangan komen media sosial berkenaan mengatakan nama Amy Search sudah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Malah, nama Search turut didaftarkan di bawah MyIPO dan ia adalah milik lima anggotanya iaitu Amy, Nasir, Noordin, Kid dan Yazit.
Namun, jika salah seorang daripada mereka mahu menjalankan perniagaan menggunakan nama Search, ia perlu mendapat kebenaran semua.
Sementara itu, Amy ketika ditanya mengenai hak Noordin dan Kid menggunakan nama Search berkata, mereka boleh menggunakan nama Search jika ada persetujuan semua anggota Search.
Ini berikutan tindakan mereka mengadakan persembahan menggunakan nama Search dengan meletakkan Akim sebagai penyanyi di Melaka, baru-baru ini.
Nasir berkata, dia tidak mahu terbabit dalam persembahan itu kerana baginya, itu bukan Search.
“Jika Noordin dan Kid nak buat persembahan, gunalah nama Din Search & Kid Search feat. Akim, jangan gunakan nama Search,” katanya.
Dalam pada itu, Amy mengakui wujud perselisihan faham dengan Nasir ketika dia mengumumkan keluar dari Search, Mac tahun lalu.
“Kami sudah berdamai sekarang. Biasalah, kawan-kawan lama. Kami tak pernah berbincang mengenai saya berundur secara tetap. Hak dan nama saya terhadap Search tidak pernah hilang atau saya lepaskan. Itu memang hak saya dan empat lagi anggota Search,” katanya.-HM
Konsert Unplugged Search 40 years, Akim Ahmad dipilih jadi vokalis
You must be logged in to post a comment.