Sempat ‘kebumi’ kaki ibu sebelum maut ditikam



 Sempat 'kebumi' kaki ibu sebelum maut ditikam

Sempat ‘kebumi’ kaki ibu sebelum maut ditikam

Kota Bharu: “Pekerja saya itu datang beritahu dia sudah menikam mangsa kerana mangsa memijak kepala, menyepak dan memukulnya ketika dia sedang tidur di bangsal berdekatan reban ayam,” kata Nur Tarmin Mat Salleh.

Nur Tarmin, 38, adalah saudara kepada Mohd Dailami Ashaari, 38, yang maut selepas ditikam di dada dengan menggunakan golok kecil dalam kejadian di Kampung Che Arus, Bukit Merbau di Kok Lanas, di sini, malam tadi.

Katanya, arwah yang juga pekerja sambilan di reban ayam kampung miliknya itu berasal dari Pasir Mas dan datang ke rumahnya, malam tadi bagi membantu kerja di reban ayam.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan pekerja saya dipanggil ‘Man Siam’ yang juga bekas pelajar pondok itu berbuat demikian kerana dia seorang yang baik serta bertubuh kecil.

“Ketika itu saya sedang berbual dengan seorang ustaz yang datang ke rumah sebelum menyedari kejadian di lokasi terletak kira-kira 50 meter dari rumah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.




Sementara itu, bapa sepupu mangsa, Nasrul Muhaimi Mohd Razali, 36, berkata, dia datang bersama mangsa pada 11 malam untuk bekerja semula sebagai pemandu lori.

Katanya, dia baru sahaja naik ke atas rumah untuk bertemu majikannya sebelum Man Siam datang memaklumkan dia menikam mangsa.

“Saya bergegas ke lokasi dan melihat terdapat empat tikaman di dada mangsa. Kami terus membawa mangsa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

Berpesan kepada adiknya supaya menjaga ibunya

“Sebelum meninggal, mangsa sempat berpesan kepada adiknya supaya menjaga ibunya yang baru kehilangan sebelah kaki akibat kencing manis.

“Ketika kami sedang tanam kaki ibunya malam tadi, mangsa kata jika dia mati perlu kebumi seperti itu juga. Kata-kata itu seolah-olah mangsa tahu dia akan pergi tidak lama lagi,” katanya yang tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku sehingga anak sepupunya maut.




Menurutnya, mangsa dan lelaki itu pernah bergaduh sebelum ini, namun Man Siam sudah meminta maaf kepada mangsa sejak dua bulan lalu.

Katanya, mangsa akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Padang Tokku, Pasir Mas.

Terdahulu, media melaporkan seorang penjaga ayam naik angin sebelum menikam seorang lelaki sehingga mati di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas, malam tadi.

Kejadian pada 11.46 malam itu, suspek warga Thailand dikenali sebagai Man Siam, melarikan diri selepas kejadian dan kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh. HM




Sempat ‘kebumi’ kaki ibu sebelum maut ditikam


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Akibat dadah, pelajar IPT tikam, tolak rakan dari tingkat 26



Leave a Reply

Your email address will not be published.