Pampasan hingga RM500,000 kepada ibu hamil alami kesan sampingan AstraZeneca, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menggesa kerajaan memberi jaminan pampasan sebanyak RM50,000 hingga RM500,000 kepada wanita hamil atau ibu menyusu yang mengalami kesan sampingan selepas menyertai program sukarela AstraZeneca.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, kesan sampingan kepada ibu yang mengambil vaksin berkenaan masih belum dapat dilihat dan ia tidak boleh dipandang ringan.

Pada 17 Mei, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk golongan terbabit buat masa ini, bagaimanapun mereka disaran mendapatkan vaksin Pfizer.

“Walaupun saya mengalu-alukan penjelasan ini memandangkan ketakutan dan kebimbangan mengenai vaksinasi Covid-19 yang dikongsi oleh ibu hamil dan sedang menyusu, namun pengumuman tersebut agak terlewat dan menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu yang telah pun menerima vaksin AstraZeneca,” kata Yeoh dalam kenyataan.

Program suntikan AstraZeneca dibuka secara sukarela pada 2 Mei lalu dan hanya dalam tempoh tiga jam, seramai 260,000 rakyat berjaya mendaftar slot yang disediakan.

Ia dibuka kira-kira dua minggu sebelum pengumuman Khairy bahawa vaksin yang dikembangkan melalui perkongsian antara syarikat gergasi farmasi dan Universiti Oxford tidak disyorkan kepada wanita hamil dan ibu mengandung.

“Modus operandi pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional ‘buat dulu, rancang kemudian’ mesti dihentikan.

“Mereka tidak boleh membuat pengumuman vaksinasi seperti mana cara mereka mengumumkan SOP yang ‘flip-flop’ sebelum ini,” kata Yeoh.

Beliau berkata, risiko kematian terhadap golongan berkenaan perlu menjadi keutamaan kerajaan hari ini.

“Menghadapi tekanan jika dijangkiti Covid-19 sudah cukup merisaukan buat ibu hamil dan menyusu, apatah lagi kerisauan yang tidak terbayang jika mendapat vaksinasi yang tidak sesuai,” katanya.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand sebelum ini dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan. FMT

Malaysia teruskan penggunaan vaksin AstraZeneca

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker