Ahli Parlimen dakwa pegawai kementerian mahu lantik bukan Orang Asli jadi KP JAKOA


Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, mendakwa terdapat gerakan oleh pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melantik individu bukan berketurunan Orang Asli sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang baharu selepas penyandangnya, Juli Edo menamatkan kontrak pada April lalu.

Beliau berkata, jawatan Ketua Pengarah JAKOA pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh rakyat berketurunan Orang Asli Semenanjung yang berkelayakan.

“Telah sampai maklumat ke pengetahuan saya bahawa ada gerakan oleh pegawai dalam KPLB sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak disandang oleh rakyat berketurunan Orang Asli Semenanjung,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, beliau sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli di Parlimen yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan “Little Napolean”, birokrasi kerajaan dalam kementerian.

Ramli berkata, sebagai pegawai kerajaan di kementerian mereka sepatutnya menumpukan kepada tugas hakiki melaksana semua dasar kerajaan supaya objektifnya tercapai untuk kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub dalam Perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan dan bukan bermain politik.

“Dengan ini juga saya mengambil kesempatan mengingatkan pegawai kerajaan bahawa dengan jelas isi kandungan Perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkaitan kuota dalam perkhidmatan awam wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli yang berkelayakan termasuk jawatan Ketua Pengarah JAKOA,” katanya.

Ramli turut menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap bukan sahaja adil dan saksama dalam pelantikan jawatan Ketua Pengarah JAKOA malah lebih prihatin terutama dalam menyelesaikan isu pembangunan kaum itu yang masih tertunggak dan ketinggalan jauh dalam pelaksanaan.

“Isu teras seperti pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan, pewartaan tanah Orang Asli, tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia.

“Saya juga menyarankan supaya agensi pelaksanaan JAKOA diperkukuhkan dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat,” katanya.

Juli yang berketurunan Orang Asli dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKOA bermula 2019 dan perkhidmatannya tamat bulan lalu.

FMT sedang mendapatkan penjelasan KPLB susulan dakwaan itu. FMT

MB Pahang: Saya ada bukti kukuh Bersatu cuba pikat MP Cameron Highlands

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker