Bertengkar dengan isteri, bapa beri anak minum kopi campur racun rumput
BEAUFORT: Seorang bapa sanggup memberikan anaknya minuman bercampur racun rumput selepas berang terhadap isteri yang mahu pulang ke kampung dalam kejadian di Kampung Bundu, Kuala Penyu, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 43 tahun itu turut dikatakan bertindak mencekik mangsa yang berusia lima tahun.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suami dan isteri.
Katanya, isteri suspek menyatakan mahu pulang ke kampung bersama anak-anak ke Keningau namun dibantah suaminya.
“Suspek yang berang kemudian memberi anaknya minuman kopi yang sudah dicampur dengan racun rumput.
“Perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan oleh anak sulungnya yang berusia lapan tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Yusoff Zaki berkata, tidak cukup dengan itu, suspek turut dilaporkan membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa.
Katanya, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.
Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan untuk membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak),” katanya. Awani
You must be logged in to post a comment.