Kerana ego, tindakan lembab PN, kita mungkin berdepan PKP 3.0 lebih lama, kata Najib
Rakyat mungkin berdepan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 lebih lama berbanding sebelum ini hasil daripada keegoan dan tindakan lembab Putrajaya untuk menutup sekolah lebih awal, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri dalam catatan di Facebook berkata, tanda awal penularan Covid-19 semakin parah jelas kelihatan pada awal April apabila kadar kebolehjangkitan sudah melepasi paras neutral 1.00.
Bagaimanapun, katanya, menteri Perikatan Nasional (PN) masih tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengawal penularan walaupun pada 26 April, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mendedahkan lebih 23,000 murid dijangkiti virus itu sejak sekolah dibuka semula selepas PKP 2.0 tamat.
Malah, Najib berkata, sebulan sebelum raya, negara sudah mencatatkan sekitar 20,000 kes baharu dalam tempoh seminggu, bagaimanapun ia masih tidak membuka mata kerajaan pusat untuk mengambil sebarang tindakan proaktif.
“Lebih sebulan sebelum raya, tak mahu buat. Dah masuk raya je, dorang baru buat. Hasil dari ego dan tindakan lembab kerajaan, seluruh negara menghadapi PKP 3.0 yang mungkin jauh lebih lama tempohnya berbanding PKP 1.0 dan PKP 2.0,” katanya.
Najib berkata, walaupun kerajaan belum mengakui kluster pendidikan sebagai punca utama penularan lebih teruk ketika PKP 3.0, beliau yakin ia antara pencetus utama Covid-19 menular begitu pantas dalam komuniti.
“Begitu jelas dan logik tapi menteri PN buat-buat tak tahu. Mana mungkin 23,000 murid yang disahkan positif bukan satu risiko penularan yang besar?
“Akhirnya sebulan kemudian selepas tanda awal jelas kelihatan, kerajaan umum PKP 3.0 secara menyeluruh pada 10 Mei dan akhirnya sekolah ditutup untuk beralih ke ‘online learning’,” katanya.
Katanya, sekolah antara tempat paling berisiko penularan Covid-19 kerana terdapat kesukaran untuk murid mematuhi SOP.
“Mereka yang terjangkit pula biasanya tidak menunjuk sebarang gejala dan sukar untuk dikesan (demam pun tak ada) tapi masih boleh menjangkiti orang ramai termasuk ibu bapa serta orang tua di rumah.
“Berapa juta rakyat biasa yang bukan dalam golongan taikun kilang disusahkan dan berapa jumlah orang yang maut secara sia-sia akibat ini? Harap kerajaan akan mengambil iktibar daripada (kejadian) ini supaya tidak berulang,” katanya.
Semalam, negara mencatatkan 11 kluster baharu, dengan empat daripadanya berkaitan pendidikan.
Pada 26 April, Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Jidin, mengumumkan sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.
Beliau berkata, sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti persekolahan bagi meraikan Aidilfitri pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 hingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B. FMT
Media negara asing sudah mula cari pasal dengan Malaysia – Najib