Istiqamah beramal pada bulan seterusnya

Istiqamah beramal pada bulan seterusnya

Oleh Datuk Mohamad Nordin Ibrahim

RAMADHAN al Mubarak bakal berlalu pergi. Kehadiran bulan ini sangat dinanti-nantikan hamba Allah yang beriman. Pastinya Ramadan kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan kerana ia Ramadan tahun kedua dalam suasana norma baharu berikutan Covid-19 yang belum reda.

Ramadan sangat istimewa kerana mampu membentuk peribadi Muslim yang bertakwa iaitu sifat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Hal ini di tegaskan dalam firman-Nya bermaksud : “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” Surah al Baqarah: 183

Takwa itu sendiri adalah tunjang kepada ajaran Islam. Hanya orang yang bertakwa akan tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa (kepada-Nya).” Hanya sifat takwa dapat membezakan darjat antara hamba-Nya, sebagaimana amanat Nabi SAW di dalam khutbah haji wida’ iaitu: “Ketahuilah, tiada kelebihan seseorang berbangsa Arab ke atas seorang bukan Arab, bukan Arab ke atas orang Arab, tiada juga bagi orang yang berkulit merah ke atas orang berkulit hitam, orang berkulit hitam keatas orang berkulit merah kecuali takwa.”

Berpuasa Ramadan adalah ibadat sangat istimewa kerana Allah SWT memberi jaminan dan pengharapan supaya menjadi orang bertakwa. Bagitulah juga penurunan kitab suci al-Quran al-Karim sebagai petunjuk (huda) kepada orang yang bertakwa.

Ramadan juga seumpama madrasah tempat mendidik manusia dari segi rohani dan jasmani. Selain berpuasa pada siang hari, kita dituntut menghiasi malam Ramadan dengan ‘qiam’ seumpama solat Tarawih, Witir, doa, zikir dan tadarus al-Quran. Selain itu Nabi SAW memperbanyak bersedekah, iktikaf dan membuat amal kebajikan.

Amatlah rugi sekiranya Ramadan kita lalui tanpa dapat meningkatkan darjat ketakwaan dalam diri. Setiap orang Islam perlu meletakkan cita-cita untuk menjadi Muslim yang lebih baik selepas sebulan ditarbiah dalam madrasah Ramadan. Fadilat dan kelebihan takwa yang sedia menanti untuk diraih sangatlah banyak. Antara yang disebut dalam al-Quran ialah sebarang kesulitan dan masalah akan diberi jalan penyelesaian oleh Allah SWT. Pintu rezeki akan diperluaskan, segala urusan pekerjaan dipermudahkan. Dengan rahmat dan kasih sayang-Nya jua, Allah SWT akan menghapuskan dosa yang dilakukan dan memberi ganjaran yang besar.

Beruntunglah orang yang membina ketakwaan sepanjang Ramadan dengan melipat ganda amal ibadah. Paling utama ialah ibadah hubungan diri kita dengan Allah SWT antaranya solat, membaca al-Quran, iktikaf, doa, zikir dan beristighfar. Di samping itu tunaikanlah zakat, infak dan sedekah yang dapat membantu sesama manusia.

Untuk mencapai takwa dalam ibadat memerlukan istiqamah. Setiap masa bermuhasabah diri seolah-olah Ramadan kali ini adalah Ramadan terakhir bagi kita. Inilah masanya untuk meningkatkan ketakwaan melalui ibadah yang bermutu. Kalaulah selama ini masih ada perasaan malas dan suka bertangguh untuk solat, inilah masanya untuk mengubah kepada yang lebih baik.

Ramadan mendidik kita untuk menghiasi diri dengan sifat mahmudah. Inilah masanya menjadi hamba yang pemurah, penyabar, berkasih sayang, bantu-membantu dan bersangka baik sesama insan.

Marilah kita tekad menjalani ibadat puasa dengan penuh keimanan dan kesempurnaan agar beroleh darjat takwa di sisi Allah SWT setiap kali Ramadan. Garaplah peluang keemasan ini supaya mati kita nanti sebagai Muslim diredai iaitu seperti di tegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan janganlah kamu mati melainkan di dalam keadaan menjadi orang Islam.” Surah Ali Imran: 102

Maha Suci Allah yang menjadikan Ramadan dan ibadat puasa pada tahun ini. Semoga bulan berkat ini memberi kita semua 1,001 hikmah, pengajaran dan tarbiah untuk diamalkan pada bulan berikutnya.

Tarbiah Ramadan kali ini seharusnya berpanjangan dan tidak hanya tertumpu kepada Ramadan, malah akhlak dan amal kebajikan yang sudah dilatih dalam tempoh 30 hari ini dapat membentuk rutin baharu hidup kita sekali gus mengharungi sepanjang tahun dengan adab serta akhlak Ramadan.

Penulis bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

 


Baca Artikel Menarik

 

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Ada sebab kenapa umat Islam hari ini semakin lemah. Ini amaran Baginda s.a.w.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker